KELAB Bola Sepak Kedah Darul Aman (KDA FC) menghadapi detik sukar apabila gagal memperoleh Lesen Kebangsaan untuk musim 2025/2026 menyebabkan pasukan itu tidak dapat beraksi dalam saingan Liga Super musim depan.
Pengumuman tersebut disahkan oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) yang menyatakan bahawa kegagalan KDA FC berpunca daripada aspek pematuhan kewangan yang tidak dapat diselesaikan dalam tempoh yang ditetapkan.
Pemilik majoriti kelab, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar dalam satu kenyataan rasmi memohon maaf kepada penyokong, pemain, penaja serta kakitangan kelab yang terkesan dengan keputusan tersebut.
"Saya mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas kekurangan yang berlaku dan menganggapnya sebagai satu pengajaran penting untuk menilai semula struktur serta hala tuju kelab,” katanya.
Mengambil maklum terhadap tunggakan yang masih belum dijelaskan, pihak pengurusan akan mengadakan perjumpaan dengan semua pihak terlibat bagi memuktamadkan kaedah penyelesaiannya.
Meskipun tidak akan beraksi dalam Liga Super, KDA FC tidak melihat kegagalan ini sebagai pengakhiran sebaliknya sebagai peluang untuk memperkukuh asas kelab dan kembali lebih stabil.
"Tempoh ini adalah fasa hibernasi Sang Kenari, masa untuk memperbaiki struktur dan persiapan sebelum kembali dengan lebih tersusun,” tambahnya.
Jelas beliau, dalam usaha mengekalkan kelab di arena bola sepak, KDA FC kini sedang mempertimbangkan beberapa pilihan lain yang lebih bersesuaian dengan hala tuju pemulihan mereka.
Menurutnya, penyokong Hijau Kuning tetap menjadi elemen penting dalam perjuangan ini dengan harapan agar kelab akan bangkit lebih kuat untuk kembali ke persada bola sepak tanah air.
"KDA FC kini juga sedang mempertimbangkan beberapa pilihan lain bagi memastikan kelab terus kekal relevan dan terlibat secara aktif dalam landskap bola sepak negara, termasuk penyertaan di platform lain yang bersesuaian dengan hala tuju pemulihan dan pembangunan semula kelab,” ujar beliau.