Pemandu wanita langgar Muhammad Arfan masih belum muncul

Iklan
Siti Hajar bersama Muhammad Arfan yang kini masih dirawat di HUSM.

KOTA BHARU - Seorang ibu tunggal masih menanti dan mengharapkan panggilan wanita yang terlanggar anak lelakinya dalam kemalangan di hadapan Klinik Desa Banggol Tok Uban kira-kira jam 12 tengah hari Isnin lalu.

Siti Hajar Deraman, 36, yang tinggal di Kampung Seligi berkata, akibat kemalangan itu anak bongsunya Muhammad Arfan Harmanizam, 2 tahun enam bulan terpaksa menjalani rawatan pembedahan di bahagian kaki di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HUSM)

Iklan
Iklan

Menurut Siti Hajar, wanita itu ada meminta maaf namun situasi kelam kabut menyebabkan dia tidak dapat memberi perhatian kerana memikirkan anaknya yang sedang menangis dengan kaki berlumuran darah.

"Penduduk setempat juga tidak mengenali wanita itu tetapi dimaklumkan dia tinggal di Taman Sentosa, berdekatan lokasi kejadian," katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Ibu kepada enam anak itu memberitahu, niatnya berjumpa wanita itu bukan untuk mengeruhkan keadaan sebaliknya mahu berbincang situasi Muhammad Arfan.

"Saya juga tidak akan mengambil tindakan undang-undang kerana keadaan kami tidak memungkinkan berbuat demikian tetapi sekurang-kurangnya ada keprihatinan wanita itu terhadap anak saya yang kini terlantar menerima rawatan.

Iklan

"Sebagai ibu tunggal dan hanya bekerja pembantu kedai saya memerlukan sokongan kewangan untuk menanggung kos perubatan kerana anak akan menjalani pembedahan kali kedua," katanya.

Siti Hajar juga berkata, upahnya berkurang kerana mengambil cuti untuk memberi perhatian kepada Muhammad Arfan sementara anak lain masih bersekolah.

Jelasnya lagi, anak sulungnya yang baharu sahaja memperoleh keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kini hanya bekerja kampung sementara menanti menyambung pelajaran.

Menceritakan kemalangan berkenaan, kata Siti Hajar, dia terpaksa membawa Muhammad Arfan bersama untuk mendapatkan rawatan anak keempat, Tuan Nur Fatin Syaqira Tuan Mohd Sarkimi, 7, yang demam di Klinik Desa Banggol Tok Uban.

Tambahnya, sebaik tiba di klinik dia menghubungi bekas suami kerana situasi di situ tidak sesuai untuk Muhammad Arfan yang aktif berlari.

"Dalam beberapa minit berurusan di kaunter kami dikejutkan dengan kemalangan di luar pagar klinik berkenaan.

"Luruh jantung saya melihat kakinya berlumuran darah dipeluk bapanya yang kemudian membawanya ke dalam klinik untuk rawatan kecemasan," katanya.

Jelas Siti Hajar lagi, Muhammad Arfan mungkin mendengar motosikal bapanya di seberang jalan dan terus berlari keluar pagar yang hanya beberapa meter dari klinik itu.

"Anak saya kemudian dihantar ke Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh sebelum menerima rawatan lanjut di HUSM," katanya.

Bagaimanapun, Siti Hajar bersyukur kerana keadaan anaknya stabil tetapi dimaklumkan kemungkinan ada jari kaki yang tidak dapat berfungsi dengan baik.

Sebelum ini tular di media sosial mengenai permintaan Siti Hajar supaya wanita yang didakwa terlanggar anaknya menghubunginya.

Tulisan Siti Hajar itu turut dikongsi beberapa kumpulan komuniti di Facebook dan mendapat reaksi netizen.

Orang ramai yang ingin membantu mengurangkan beban Siti Hajar boleh menghulurkan derma melalui Bank Islam di nombor 03090020626535 atas nama Siti Hajar Deraman atau menghubungi di talian 0136464358.