Keluarga Teoh Beng Hock tuntut PMX tunai janji siasat semula kes kematian

Iklan
Keluarga Teoh Beng Hock ketika Himpunan Undur Azam Baki di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada Sabtu.

KUALA LUMPUR - Keluarga Teoh Beng Hock menuntut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pakatan Harapan (PH) menunaikan janji untuk membela nasib mendiang yang ditemui maut pada 16 Julai 2009 di bangunan Plaza Masalam, Shah Alam selepas memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Adik mendiang Teoh Lee Lan, 45, berkata, tindakan itu perlu selepas Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengklasifikasikan kes kematian Beng Hock sebagai NFA atau tiada tindakan lanjut susulan tiada bukti mencukupi.

Iklan
Iklan

Malah, Lee Lan berkata, Mahkamah Rayuan pada 2014 memutuskan kematian Teoh Beng adalah kerana tindakan menyalahi undang-undang dibuat oleh

seorang atau lebih dari seorang suspek tidak dikenali.

Iklan

"Kami menentang keputusan polis mengklasifikasikan kes kematian Beng Hock sebagai NFA selepas 16 tahun mereka menunggu dan tujuh kali kertas siasatan dibuka," katanya ketika berucap di Himpunan Undur Azam Baki di Dataran Merdeka di sini pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Lee Lan berkata, keluarganya berasa hairan kena kes Beng Hock diklasifikasikan sebagai NFA biarpun hasil siasatan mendapati mendiang disahkan mengalami kecederaan teruk di leher sebelum ditemui mati akibat terjatuh daripada bangunan menempatkan pejabat SPRM Selangor.

Iklan

"Kita semua masih ingat pendedahan kes mata lebam yang menimpa Anwar (Perdana Menteri sekarang) menyebabkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor ketika itu dipecat kerana menumbuknya.

"Namun, dalam kes Beng Hock biarpun disahkan dibunuh dengan kejam, lehernya cedera teruk sehingga tidak boleh berjalan sebelum ditemui mati di tepi bangunan, namun kesnya diklasifikasikan sebagai NFA.

"Adakah kes Beng Hock diklasifikasikan sebagai NFA kerana dia hanya orang biasa berbanding Anwar yang ketika itu pernah memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri?" soalnya

Lee Lan berkata, Perdana Menteri juga pernah berjumpa keluarganya pada 2024 dan berjanji untuk menuntut keadilan di atas kematian abangnya, namun hingga kini semua keputusan amat mengecewakan.

"Kita juga tertanya-tanya kenapa pemimpin PH yang menjadi Menteri Kabinet dan Perdana Menteri sekarang kini berdiam diri.

"Ini kerana semasa berada di luar kerajaan atau pembangkang, mereka begitu lantang mendesak supaya kes kematian Beng Hock disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Sebelum ini, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendakwa kes kematian Beng Hock kira-kira 15 tahun lalu sudah diklasifikasikan sebagai NFA.

Perkara itu didedahkan oleh The Teoh Beng Hock Association for Democratic Advancement (TBH-ADA) dalam satu jemputan media.

"Pada 20 Mei, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), PDRM telah menulis surat kepada peguam keluarga Teoh Beng Hock, Ramkarpal Singh, mengenai hasil siasatan baharu polis berkenaan kematian Beng Hock yang bermula pada Februari 2025.

Sebelum ini, media melaporkan Perdana Menteri, mengesahkan kerajaan bersetuju untuk polis membuka semula siasatan kes kematian Beng Hock.

Beng Hock ditemui maut pada 16 Julai 2009 di bangunan Plaza Masalam selepas memberi keterangan di pejabat SPRM di tingkat 14 bangunan sama.

Mendiang adalah Setiausaha Politik kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan ketika itu, Ean Yong Hian Wah yang pada masa sama merupakan Exco Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru Selangor.

Pada 5 Januari 2011, Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan bahawa kematian Beng Hock pada 2009 bukan disebabkan membunuh diri atau dibunuh, serta mendapati tiada pihak ketiga dalam kes kematiannya.

Pada 21 Julai 2011, Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat kematian Beng Hock, memutuskan bahawa kematiannya adalah akibat bunuh diri.

Pada 5 September 2014, Mahkamah Rayuan menukar keputusan terbuka dalam kes kematian Beng Hock, sekali gus memutuskan bahawa kematiannya adalah akibat tindakan menyalahi undang-undang oleh seorang atau beberapa orang yang tidak dikenali.

Susulan itu, 4 Februari lalu, Pengarah JSJ, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata pihaknya akan menggunakan teknologi pengimbas tiga dimensi untuk lakonan semula di tempat kejadian dalam usaha siasatan semula kes kematian Beng Hock.

Peralatan itu digunakan bagi mendapatkan semula gambaran lokasi kejadian.