'Mek Kecik' si cilik fasih dialek Kelantan

Iklan
Su Ai (kanan) menunjukkan kek kepada Mek Kecik yang dihantar peminatnya.

KOTA BHARU - Mungkin ramai yang tidak mengenali kanak-kanak berbangsa Cina berusia enam tahun, Tan Winccy, namun jika disebut nama Mek Kecik, ribuan pengikut di aplikasi TikTok pasti terhibur mendengar celotehnya.

Kemunculan Mek Kecik di media sosial milik ibunya, Choo Su Ai, 34, sentiasa dinantikan oleh para pengikut kerana ingin mendengar celotehnya dalam dialek Kelantan.

Iklan
Iklan

Menurut Su Ai, anaknya fasih dan tidak kekok menyebut perkataan yang jarang didengar oleh generasi baharu kerana mereka sekeluarga lebih senang bertutur dalam dialek itu di rumah.

"Kami lebih gemar bertutur dalam dialek Kelantan atau Hokkien kerana neneknya tidak fasih berbahasa Mandarin.

Iklan

"Ada yang mengakui terharu mendengar celotehnya dan menghadiahkan kejutan kepada Mek Kecik,” katanya kepada Sinar Ahad.

Su Ai yang menjalankan perniagaan alat ganti kenderaan milik keluarga berkata, Mek Kecik juga lebih menggemari makanan Melayu seperti nasi berlauk, gulai ayam atau ikan, pulut kuning dan roti jala.

Iklan

Su Ai memberitahu, hampir setiap pagi anaknya itu akan mengajaknya membeli nasi berlauk di sebuah gerai kegemarannya sebelum ke sekolah.

"Dia juga sudah biasa dengan nama pelbagai jenis sayuran dalam dialek Kelantan seperti kacey mio (bendi), kace camboh (tauge) dan teney (petola), malah turut berkongsi maklumat itu di media sosial,” katanya lagi.

Mek Kecik (kanan) bersama Su Ai tidak kekok berkomunikasi dengan jiran kerana fasih dialek Kelantan.

Celoteh Mek Kecik turut menjadi tarikan pelanggan di kedainya untuk bersembang, dan lebih istimewa, kanak-kanak itu memahami percakapan mereka walaupun terdapat jurang usia yang ketara.

Su Ai berkata, perkongsian berkaitan isu semasa menggunakan dialek Kelantan di aplikasi TikTok juga menarik perhatian ramai, sekali gus mengeratkan hubungan perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum.

"Saya lebih gemar berbual dalam dialek Kelantan dengan Mek Kecik di media sosial supaya lebih ramai dapat memahami perkara yang ingin kami sampaikan, termasuk isu keselamatan, agama dan perpaduan.

"Banyak isu membabitkan perkauman, tetapi keadaan di negeri ini sangat harmoni,” katanya.