Degupan jantung terhenti, muka jadi biru gara-gara belon

Iklan
Uwais dikejarkan ke hospital selepas didapati tidak sedarkan diri ketika bermain di rumahnya.

SHAH ALAM – Hanya kerana sebiji belon yang belum ditiup, seorang kanak-kanak hampir kehilangan nyawa apabila objek tersebut memasuki saluran pernafasannya.

Menerusi perkongsian di laman Facebook, Nurul Huda Zulkhairi menceritakan detik cemas yang berlaku semasa sambutan hari lahir anaknya, Uwais Al Fateh Muhammad Za'im, pada 20 Mei lalu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ketika sedang sibuk melayan tetamu, beliau dan suami sempat melihat anak sulung mereka bermain dan berlari bersama rakan baiknya.

"Sebelum kejadian, anak saya duduk di meja sambil minum air. Selepas itu, dia berlalu pergi untuk sambung bermain dalam rumah.

Iklan

"Adik ipar saya memaklumkan bahawa Uwais kelihatan seperti semput. Suami mengambil penyedut asma kerana dia pernah mengalami serangan asma sebelum ini.

"Namun keadaan menjadi tegang apabila seorang lagi adik ipar berlari mendapatkan kami sambil mendukung Uwais yang tiba-tiba membiru dan lebih membimbangkan, jantungnya telah berhenti berdegup,” katanya.

Iklan

Nurul Huda berkata, suami serta rakan mereka yang merupakan seorang doktor segera melakukan beberapa prosedur kecemasan termasuk bantuan pernafasan dan resusitasi kardiopulmonari (CPR) bagi memastikan darah terus mengalir ke seluruh tubuh sebelum Uwais dikejarkan ke hospital berhampiran.

Setibanya di unit kecemasan Hospital Kulim, doktor mengesan kehadiran belon dalam saluran pernafasan Uwais sebelum melakukan prosedur intubasi.

"Doktor berjaya mengeluarkan belon tersebut dan terus melakukan CPR. Alhamdulillah, nyawa anak saya ALLAH pulangkan semula.

"Terima kasih kepada pasukan unit kecemasan Hospital Kulim dan Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) Hospital Sultanah Bahiyah yang sangat teliti dalam merawat Uwais,” katanya.

Berkongsi lanjut mengenai insiden itu, Nurul Huda berkata, Uwais ketika itu bergurau bersama rakannya dengan memasukkan belon ke dalam mulut sambil berlari.

Tindakan spontan tersebut menyebabkan Uwais tersedak dan tercekik tanpa disedari sesiapa.

"Kisah ini saya kongsikan sebagai peringatan kepada semua ibu bapa. Perkara yang dianggap kecil seperti sebiji belon boleh menjadi punca kepada musibah besar jika tidak diawasi.

"Jangan ambil mudah. Saya sendiri hampir kehilangan anak saya. Doakan agar Uwais terus kuat dan pulih sepenuhnya,” katanya lagi.