BENGKULU – Seorang lelaki bertindak menikam ketua kampung menggunakan pisau gara-gara gagal mendapatkan tandatangan untuk urusan perkahwinannya dalam kejadian di Desa Talang Baru Ginting, Kabupaten Bengkulu Utara, Khamis lalu.
Dalam kejadian sekitar jam 11.30 pagi itu (waktu tempatan), mangsa, Sarkawi yang merupakan Ketua Kampung Tanjung Karet, cedera parah selepas ditikam dua kali di bahagian dada dan belakang badan, serta luka di tangan.
Suspek, lelaki berusia 52 tahun dikenali sebagai AS, adalah penduduk Desa Tanjung Karet, dan dipercayai menyerang mangsa akibat marah kerana mengalami kesukaran mendapatkan tandatangan ketua kampung itu untuk urusan perkahwinan.
Menurut kenyataan polis, suspek kemudian menyerah diri ke Ibu Pejabat Polis Daerah (Polres) Bengkulu Utara sekitar jam 1.30 tengah hari, kira-kira dua jam selepas kejadian.
"Suspek telah kami tahan dan kini sedang menjalani proses siasatan lanjut,” kata Ketua Unit Siasatan Jenayah Satreskrim Polres Bengkulu Utara, Inspektor Dua Muhammad Rizky Dirgantara.
Jelas beliau, siasatan awal mendapati suspek mempunyai pertelingkahan lama dengan mangsa, dan kejadian dipercayai berpunca daripada emosi yang memuncak akibat hal remeh berkaitan proses pentadbiran perkahwinan.
"Terdapat perselisihan lama antara pelaku dan mangsa. Namun, penikaman dipercayai didorong rasa marah suspek kerana gagal mendapat tandatangan daripada ketua kampung bagi kelulusan perkahwinannya,” jelas beliau.
Orang kampung yang berada di lokasi kejadian segera menghantar mangsa ke Hospital Charitas di Desa Rama Agung sebelum dirujuk ke Hospital Daerah Umum (RSUD) Arga Makmur bagi rawatan lanjut sekitar jam 3.35 petang.
Tangisan keluarga mengiringi pemindahan Sarkawi ke hospital, malah ibunya dilaporkan pengsan sebaik tiba dan melihat sendiri keadaan anaknya yang cedera parah.
Sementara itu, Ketua Siasatan Jenayah Polres Bengkulu Utara, Inspektor Satu Imam Dipsa Maulana mengesahkan suspek kini dalam tahanan pihak berkuasa.
"Kes ini akan disiasat secara menyeluruh dan kami akan memastikan keadilan ditegakkan,” katanya.
Kes kini disiasat mengikut peruntukan jenayah berat berkaitan cubaan membunuh. -Agensi