PENAMPANG - Usaha memelihara budaya tradisional agar tidak dilupakan generasi akan datang terus diperkukuh menerusi penganjuran sukan tradisi yang menjadi acara wajib sempena sambutan Pesta Kaamatan, sekali gus menjadi pentas menonjolkan keunikan warisan suku kaum di Sabah.
Pesta Kaamatan kali ini menampilkan sembilan jenis sukan tradisional yang suatu ketika dahulu menjadi hiburan utama masyarakat, terutamanya di kampung, sebelum era teknologi moden dan gajet digital.
Antara acara dipertandingkan ialah sukan rampanau (berjalan menggunakan galah), mipulos (gusti lengan), momolisitik (melastik), mobpiri (menyalakan api), migazat dukug (tarik tali), manandus (membujak), monopuk (menyumpit), monungkava kalabau (menjerat kerbau), dan sipatu tampulangoi (terompah gergasi).
Tinjauan Sinar Harian di Padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bahang yang terletak bersebelahan Dewan Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), mendapati golongan muda daripada pelbagai latar belakang hadir menyaksikan pertandingan antara kumpulan dan individu dalam pelbagai acara sukan warisan.
Sebahagian pengunjung turut mengambil peluang mencuba sendiri permainan yang dibuka kepada orang ramai, sebagai satu pengalaman baharu mengenali warisan budaya nenek moyang secara lebih dekat.
Menurut seorang pengunjung, Joyce Heng, 38, walaupun beliau berbangsa Cina, Pesta Kaamatan membuka ruang untuk masyarakat bukan Kadazan, Dusun, Murut dan Rungus (KDMR) lebih mengenali budaya Sabah.
"Saya datang sebagai peserta kerana ingin mencuba sendiri sukan rampanau, yang sebelum ini saya hanya lihat di media sosial.
"Sudah tentu saya ingin merasai sendiri hiburan masyarakat dahulu sebelum wujudnya gajet seperti sekarang,” katanya.
Bagi Fachai Sikana, 19, beliau menyifatkan peluang sebegini penting untuk generasi muda mendekati permainan tradisional yang semakin dilupakan.
"Hari ini kami berpeluang mencuba menyumpit – satu teknik masyarakat lama untuk berburu. Saya juga menyertai pertandingan tarik tali yang biasanya diadakan selepas musim menuai,” katanya, yang juga peserta pertandingan peragaan lelaki tradisional Mr Kaamatan.
Sementara itu, Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Fairuz Renddan berkata sukan tradisi wajar diangkat ke peringkat lebih tinggi dan tidak hanya diadakan sempena Pesta Kaamatan.
"Walaupun kita melangkah ke hadapan dengan e-sukan, sukan tradisi tetap penting sebagai sebahagian identiti budaya kita di Sabah.
"Peranan Mr Kaamatan juga penting sebagai duta kebudayaan Sabah termasuk mempromosi sukan tradisi,” katanya.