Dua individu ditahan cuba seludup lebih 300 spesies hidupan liar di KLIA

Iklan
Dua warga tempatan ditahan kerana cuba seludup lebih 300 spesies hidupan liar di KLIA. Foto hiasan

SHAH ALAM - Dua individu warga tempatan yang ditahan kerana cuba menyeludup spesies hidupan liar eksotik di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mendakwa tidak mengetahui isi kandungan beg yang didaftarkan atas nama mereka.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, hasil siasatan awal mendapati kedua-dua suspek mengaku beg tersebut dibawa atas permintaan seorang rakan, kononnya untuk diserahkan kepada abang rakannya di India.

Iklan
Iklan

"Namun demikian, adalah tidak wajar untuk membuat sebarang kesimpulan terlalu awal.

"Pihak berkuasa perlu menunggu hasil siasatan terperinci sebelum mengambil sebarang tindakan selanjutnya,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Iklan

Difahamkan, kedua-dua suspek cuba menyeludup lebih 300 spesies hidupan liar eksotik melalui KLIA.

Sementara itu, Abdul Kadir memaklumkan bahawa KLIA kini dikenal pasti sebagai salah satu ‘laluan panas’ utama bagi aktiviti penyeludupan hidupan liar.

Iklan

Menurut beliau, data yang diperoleh menunjukkan peningkatan ketara dalam kes penyeludupan melalui KLIA melibatkan spesies seperti kura-kura, ular, burung dan primat.

Bagi membendung jenayah ini, Perhilitan bersama agensi penguat kuasa lain telah memperketat kawalan keselamatan di lapangan terbang tersebut.

"Penguatkuasaan kini melibatkan penggunaan anjing pengesan dan teknologi pengimbas bagasi.

"Perhilitan juga bekerjasama erat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) serta Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) menerusi pelaksanaan Operasi Bersepadu Khazanah (OBK),” katanya.