IPOH - Polis menjalankan siasatan berhubung video tular di media sosial yang memaparkan tindakan seorang lelaki mengasari pekerjanya dalam kejadian di Taman Rishah di sini.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, satu laporan telah polis telah diterima daripada wanita berusia 24 tahun itu pada Khamis lalu.
"Siasatan awal mendapati telah berlaku perselisihan faham selepas pengadu membuka sepucuk surat atas nama suspek.
"Suspek bertindak menolak komputer riba yang sedang digunakan mangsa sehingga terkena pada mukanya," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.
Menurut beliau, mangsa telah membuat pemeriksaan dan menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini.
"Polis sedang merakam keterangan daripada beberapa saksi yang berada di tempat kejadian bagi membantu siasatan.
"Identiti suspek juga telah dikenal pasti dan tindakan susulan akan diambil mengikut prosedur undang-undang," katanya.
Abang Zainal Abidin berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan dengan sengaja mendatangkan kecederaan.