KUALA LUMPUR - Penganjur mendakwa lebih kurang 5,000 peserta membanjiri pekarangan sebuah kompleks beli-belah di ibu negara dalam Himpunan Melayu Berdaulat yang berlangsung pada Sabtu.
Perhimpunan itu dianjurkan gabungan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu-Islam, termasuk Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), bagi menyuarakan kebimbangan terhadap hak dan kedudukan orang Melayu yang didakwa semakin terhakis.
Anggota Sekretariat Himpunan Melayu Berdaulat, Syed Hassan Syed Ali, yang juga Presiden Perkasa berkata, walaupun kehadiran tidak mencapai sasaran iaitu 10,000 peserta, namun jumlah lebih kurang 5,000 orang yang hadir tetap dianggap sebagai satu kejayaan.
"Ini himpunan Melayu rentas politik. Ramai yang hadir walaupun kita terikat dengan pelbagai syarat. Kita tetap bersyukur kerana mesej kita sampai,” katanya ketika ditemui Sinar Harian selepas himpunan berkenaan selesai.
Dalam pada itu, Syed Hassan turut menjawab kritikan yang menyifatkan himpunan itu sebagai retorik kosong.
"Kami akan teruskan perjuangan. Mereka yang menyifatkan sokongan dan perhimpunan orang Melayu sebagai retorik hanyalah golongan pengampu.
"Melayu jenis ini ada di mana-mana. Kita jangan peduli, jumlah mereka sedikit sahaja dan hanya golongan upahan yang mahu menyakitkan hati kita,” tegasnya.
Perhimpunan Melayu Berdaulat dianjurkan sebagai platform untuk membangkitkan kesedaran masyarakat terhadap beberapa isu semasa yang didakwa menjejaskan hak dan kedudukan orang Melayu, termasuk berkaitan institusi raja, agama Islam serta kedudukan istimewa dalam Perlembagaan.
Antara penceramah yang tampil menyampaikan ucapan ialah aktivis masyarakat Rafidah Ibrahim dari Kampung Sungai Baru yang lantang menuntut agar kerajaan mempertahankan penempatan tradisi dan tanah rizab Melayu daripada terus terhapus atas nama pembangunan.
Pihak berkuasa termasuk anggota polis turut ditempatkan di kawasan sekitar bagi memastikan keadaan keselamatan dan ketenteraman awam terkawal sepanjang perhimpunan berlangsung.
Bagaimanapun, persoalan mengenai hala tuju dan masa depan Himpunan Melayu Berdaulat itu terus menjadi perhatian.
Salah seorang peserta himpunan berkenaan, Azlan Baharom, 46, dari Kuala Lumpur berkata, tanpa pelan tindakan yang jelas, ramai pemerhati melihat gerakan tersebut masih berada pada tahap simbolik.
"Hanya masa akan menentukan sama ada ia mampu menjadi kekuatan tersusun yang benar-benar membawa perubahan dalam landskap politik dan sosial negara," tambahnya.