IPOH – Kesemua 829 Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di Perak yang akan tamat tempoh pelantikan pada 31 Mei ini akan dinilai prestasinya sebelum dilantik semula bagi penggal baharu bermula 1 Jun 2025.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, penilaian akan dilakukan oleh pegawai daerah berdasarkan prestasi dan kriteria tertentu yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
"Tempoh pelantikan semua ketua kampung akan tamat minggu depan. Ketika ini, pegawai-pegawai daerah sedang membuat penilaian.
"Ada beberapa kriteria yang perlu dipenuhi, termasuk markah prestasi yang sedang dinilai oleh pegawai daerah. Selain itu, had umur juga ditetapkan, iaitu tidak melebihi 65 tahun pada tarikh 1 Jun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Desa Sejahtera dan Anugerah Sejati Madani Negeri Perak Tahun 2024 di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini pada Sabtu.
Bagi Anugerah Desa Sejahtera Negeri Perak, Kampung Telaga Nenas dari Manjung diumumkan sebagai johan dan membawa pulang hadiah berjumlah RM10,000.
Sementara itu, johan Anugerah Sejati Madani 2024 dimenangi oleh Kampung Jaya Setia dari Kuala Kangsar yang menerima peruntukan projek infrastruktur berjumlah RM100,000.
Turut hadir, Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Mohd Zolkafly Harun serta Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.
Saarani turut memaklumkan bahawa calon pengerusi JPKK perlu memenuhi tahap kesihatan yang membolehkan mereka menjalankan tugas dengan baik.
"Kita tidak minta mereka menjalani pemeriksaan di IJN (Institut Jantung Negara), tetapi berdasarkan pengalaman, kita boleh tahu sama ada seseorang itu sihat atau tidak untuk meneruskan khidmat kerana ini antara kriteria yang ditetapkan KKDW,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan ketua kampung yang tidak dilantik semula agar tidak kecewa, sebaliknya terus menyumbang kepada pembangunan kampung dan negeri.
Saarani turut merakamkan penghargaan kepada semua pengerusi JPKK yang telah berkhidmat selama dua tahun dan berharap pelantikan baharu dapat menyemarakkan semangat untuk terus membangunkan negeri.