Jambatan Sungai Air Tawar-Hutan Melintang dijangka siap tahun depan - Rizam

Iklan
Rizam (belakang lima dari kiri) bersama penerima sumbangan semasa Jualan Murah GRS, Penyampaian Sumbangan Back to School dan Penyampaian Sumbangan kepada Masjid dan Surau DUN Sungai Air Tawar di Astaka Rakyat Rumpun Selangor Bagan Nakhoda Omar, Sabak Bernama pada Sabtu.

Kerja-kerja pembinaan kini dalam fasa penting dengan struktur asas seperti tiang dan 'pile cap' telah pun siap dipasang.

SABAK BERNAM - Projek pembinaan Jambatan Sungai Air Tawar-Hutan Melintang di sini yang berdepan beberapa isu kelewatan dijangka masih dapat disiapkan tahun depan.

Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna Selangor, Datuk Rizam Ismail berkata, projek pembinaan jambatan sepanjang 2.8 kilometer (km) itu tetap berjalan lancar.

Iklan
Iklan

"Memang ada sedikit kelewatan, tapi saya yakin pihak kontraktor dan JKR (Jabatan Kerja Raya) akan siapkan projek ini mengikut jadual ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Jualan Murah Gagasan Rumpun Selangor (GRS), Penyampaian Sumbangan Back to School dan Penyampaian Sumbangan kepada Masjid dan Surau Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Air Tawar di Astaka Rakyat Rumpun Selangor Bagan Nakhoda Omar di sini pada Sabtu.

Iklan

Kelewatan projek pembinaan jambatan itu sebelum ini antaranya melibatkan proses pengambil alihan tanah di Perak dan insiden rebakan tanah di jeti nelayan berdekatan kawasan itu pada September tahun lalu.

Jelas beliau, kerja-kerja pembinaan kini dalam fasa penting dengan struktur asas seperti tiang dan 'pile cap' telah pun siap dipasang.

Iklan

"Menjelang hujung tahun ini, tiang itu mungkin akan siap dibina sehingga ke kawasan Hutan Melintang," kata beliau.

Mengulas isu teknikal di kawasan tertentu yang melibatkan perubahan lokasi pembinaan jeti, Rizam memaklumkan, satu cadangan baharu telah diluluskan.

"Isu rebak di kawasan jeti berhampiran telah ditangani dengan baik termasuk menyediakan lokasi baharu sementara untuk penduduk,” katanya.

Sinar Harian 5 Jun tahun lalu melaporkan, jambatan menghubungkan Sungai Air Tawar ke Hutan Melintang, Perak itu dijadualkan siap sepenuhnya pada Jun 2026.

Bagaimanapun, projek itu dijangka mengalami kelewatan berikutan rebakan tebing yang berlaku di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kampung Dato' Hormat di sini pada September tahun lalu.

Pembinaan jambatan merentasi Sungai Bernam itu mampu memendekkan jarak perjalanan sejauh 40 kilometer (km) bagi penduduk setempat antara dua negeri tersebut.

Projek kerajaan Persekutuan bernilai RM219 juta yang tertangguh sejak sekian lama itu bakal merancakkan ekonomi setempat, pembangunan dan pelancongan selain mengurangkan kesesakan trafik di Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE).

Penduduk kawasan itu ketika ini perlu menggunakan jambatan utama di Sabak Bernam yang mengambil masa lama untuk ke Hutan Melintang.

Rizam (belakang lima dari kiri) bersama penerima sumbangan semasa Jualan Murah GRS, Penyampaian Sumbangan Back to School dan Penyampaian Sumbangan kepada Masjid dan Surau DUN Sungai Air Tawar di Astaka Rakyat Rumpun Selangor Bagan Nakhoda Omar di sini pada Sabtu.