JERANTUT - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan Pahang, Haris Salleh Hamzah bersedia menawarkan khidmat guaman percuma kepada peneroka Felda yang berdepan isu pewarisan.
Menurutnya, isu tersebut terus menjadi fokus utama kerajaan negeri dalam usaha memastikan hak milik generasi peneroka tidak terabai.
"Pewarisan ini isu besar. Bila tidak selesai, ia berangkai dan membebankan anak cucu.
"Sebab itu saya sebagai peguam sedia tawarkan khidmat nasihat guaman secara percuma kepada mana-mana waris peneroka yang ingin selesaikan isu ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program Santai Petang di Felda Sungai Retang di sini pada Jumaat.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Jerantut memberitahu, usaha menyelesaikan isu pewarisan akan digerakkan secara lebih tersusun, termasuk melalui program-program bersemuka seperti Santai Petang.
"Saya percaya ini antara sumbangan yang boleh diberikan kepada masyarakat untuk membantu warga Felda dengan memberi tunjuk ajar bagaimana hendak selesaikan isu pewarisan," tambahnya.
Jelasnya lagi, perbincangan telah diadakan bersama pihak Felda termasuk wakil dari ibu pejabat untuk menggerakkan usaha turun padang ke blok-blok Felda bagi menyelesaikan isu pewarisan secara berperingkat.
"Boleh buat mingguan atau dua kali sebulan, terutama hujung minggu bila anak cucu balik kampung. Kita bantu selesaikan masalah,” jelasnya.
Ditanya punca kepada isu pewarisan beliau berkata tiada kesedaran adalah antara faktor menyebabkan masalah tersebut terjadi.