KOTA BHARU - Kerja-kerja pembinaan infrastruktur di Taman Perindustrian Sistem Binaan Berindustri (IBS) di Machang dijangka siap sepenuhnya pada suku pertama tahun depan.
Presiden Persatuan Kontraktor Perumahan (PKPM), Hasniro Hasbullah berkata, infrastruktur seperti pembetungan, kolam tadahan dan tangki air sepatutnya disiapkan selewat-lewatnya pada September 2025 namun berdepan sedikit kelewatan disebabkan isu teknikal yang hanya dikesan baru-baru ini.
"Pada awalnya kita menjangka projek ini dapat disiapkan mengikut jadual, namun isu yang tidak dapat dielakkan apabila berlaku pertindihan membabitkan laluan utiliti sedia ada.
"Masalah ini hanya dikesan pada bulan lepas dan berkemungkinan besar akan menyebabkan lanjutan masa siap sehingga awal suku pertama tahun 2026,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Ekspo Bina Rumah Atas Tanah Sendiri di pusat membeli belah di Jalan Hamzah di sini pada Jumaat.
Majlis dirasmikan oleh Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah.
Taman Perindustrian IBS adalah inisiatif pertama seumpamanya di Malaysia, dibangunkan hasil kerjasama antara Kerajaan Negeri Kelantan dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).
Ia dibina di atas tapak seluas 80.94 hektar membabitkan peruntukan lebih RM75 juta yang dibangunkan secara berfasa di Labok.
Projek tersebut bertujuan mewujudkan hub IBS menyeluruh merangkumi pengeluaran komponen binaan, latihan tenaga kerja dan penyelidikan teknologi pembinaan moden selain bakal membuka peluang pelaburan berpotensi tinggi.
Hasniro menambah, kelewatan itu bagaimanapun dijangka tidak berlarutan melebihi suku pertama 2026.
"Kerja-kerja pembinaan infrastruktur bagi fasa pertama siap terlebih dahulu sebelum kilang-kilang dibina dan menyiapkan operasi masing-masing.
"Proses pembinaan kilang biasanya mengambil masa sekitar setahun setengah dan keseluruhan kawasan ini dijangka mula beroperasi sepenuhnya menjelang pertengahan tahun 2027,” katanya lagi.
Setakat 30 April lalu, status fizikal projek mencapai 81.05 peratus merangkumi kerja-kerja menanam cerucuk, saliran dan jalan utama selesai manakala kerja-kerja mekanikal serta utiliti sedang giat dilaksanakan.