Bot nelayan tempatan ditahan gaji kru warga asing tanpa permit

Iklan
Pemeriksaan lanjut mendapati vesel itu disyaki melanggar syarat sah lesen kerana menggajikan pekerja asing tanpa permit kerja sah daripada Pengarah Perikanan Malaysia - Foto: APMM

KUANTAN – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pahang berjaya menahan sebuah vesel nelayan tempatan Kelas C2 selepas didapati melanggar syarat sah lesen kira-kira 7.5 batu nautika barat laut Pulau Tioman pada Khamis lalu.

Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Mazlan Mat Rejab berkata, vesel tersebut dikesan dalam keadaan mencurigakan ketika sedang berapung di perairan berkenaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, tindakan itu dikesan oleh kapal peronda Maritim Malaysia yang menjalankan operasi penguatkuasaan Op Makmur dan Op Tiris sekitar jam 9.20 pagi.

"Hasil pemeriksaan awal mendapati terdapat 21 kru di atas vesel berkenaan terdiri daripada dua kru warga Thailand termasuk tekong, 12 kru warga Kemboja dan tujuh kru warga Laos.

Iklan

"Kesemua mereka berumur antara 20 hingga 57 tahun. Pemeriksaan lanjut mendapati vesel itu disyaki melanggar syarat sah lesen kerana menggajikan pekerja asing tanpa permit kerja sah daripada Pengarah Perikanan Malaysia,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Tambah beliau, semua kru turut didapati memiliki dokumen pengenalan diri yang meragukan dan kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.

Iklan

Turut dirampas dalam operasi tersebut ialah peralatan menangkap ikan, dokumen berkaitan serta hasil laut yang dianggarkan seberat tujuh tan metrik.

Vesel bersama semua rampasan telah dibawa ke Jeti Pos Maritim Teluk Gading untuk tindakan lanjut.

Dalam pada itu, Maritim Malaysia menegaskan bahawa pelanggaran syarat lesen merupakan kesalahan serius dan menggesa semua pemilik vesel agar mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan.

Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan jenayah atau kecemasan di laut diminta menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau talian kecemasan 999.