KUANTAN – Dua warga China maut, manakala seorang lagi rakyat negara itu serta lima sekeluarga tempatan cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 234.7 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) arah ke Kuantan, pada Jumaat.
Kemalangan yang berlaku kira-kira jam 2 petang itu melibatkan sebuah kereta jenis Mercedes-Benz yang dinaiki tiga warga China dan sebuah Nissan X-Trail yang dipandu seorang wanita tempatan bersama keluarganya.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Zahari Wan Busu berkata, siasatan awal mendapati Nissan X-Trail dari arah Kuala Lumpur menghala ke Kuantan dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar pembahagi jalan sebelah kanan dan terbabas ke lorong kiri.
"Sebuah Mercedes-Benz yang datang dari arah sama gagal mengelak lalu merempuh bahagian belakang kenderaan itu,” katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.
Beliau berkata, dua penumpang Mercedes-Benz, dikenali sebagai Zhengtai dan Chunhua, disahkan maut di tempat kejadian, manakala pemandunya, Zhu Lin Shun, mengalami kecederaan di tangan kanan dan beberapa luka lain.
Pemandu Nissan X-Trail, Noor Amirah Mohd Salleh, 30, pula cedera di bahagian pinggul dan sedang dirawat di Zon Merah, Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan.
"Empat lagi penumpang dalam Nissan X-Trail, termasuk seorang kanak-kanak, turut cedera dan dirawat di hospital sama. Dua daripadanya ditempatkan di Zon Merah, manakala dua lagi di Zon Kuning,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Bernama