Anwar minta Rafizi, Nurul Izzah saling bermaafan

Iklan
Nurul Izzah dan Rafizi

JOHOR BAHRU – Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nurul Izzah Anwar tidak seharusnya saling menghukum antara satu sama lain, meskipun berlaku kempen yang agak keterlaluan antara kedua-dua pihak dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden parti.

Beliau berkata, kedua-duanya wajar menganggap sikap keterlaluan itu sebagai satu kesilapan kecil yang boleh dimaafkan.

Iklan
Iklan

"Saya lihat kedua-dua pihak ada keterlaluan, jadi jangan hukum antara satu sama lain. Saya sebagai bapa beri nasihat kepada semua.

"Yang penting, kita bersama. Kalau sudah berkawan puluhan tahun, bergelut susah payah dan menderita bersama, takkanlah dengan apa yang dianggap kesilapan kecil itu tidak boleh dimaafkan.

Iklan

"Kalau saya, ikhlas saya maafkan semua,” katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar dan merasmikan Kongres Nasional Tahunan Keadilan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, di sini pada malam Sabtu.

Anwar turut menegaskan bahawa PKR perlu terus membina kekuatan secara bersama kerana parti masih belum mencapai sepenuhnya idealisme dan cita-cita perjuangan yang diimpikan.

Iklan

"Kalau mahu bicara paling keras, biarlah tentang tatakelola dan antirasuah. Barulah kita boleh layak menjadi parti reformasi yang tulen,” tegas beliau.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, beliau menerima dengan terbuka sebarang teguran terhadap dirinya, walaupun tidak menjawab secara langsung semua kritikan yang disuarakan oleh calon-calon yang bertanding.

"Teguran itu termasuk daripada Rafizi, Nurul Izzah, Datuk Seri Amirudin Shari dan tokoh-tokoh lain. Ada rasa (tersentuh) sedikit, biasalah, tetapi saya terima secara positif kerana teguran itu untuk mengingatkan kita bahawa dalam dasar, tidak salah ditegur,” ujar beliau.