Fahmi Fadzil dapat undi tertinggi jawatan Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR

Iklan
Fahmi. Foto Bernama

JOHOR BAHRU – Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil tidak menyangka akan menerima undi tertinggi dalam pemilihan Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi sesi 2025–2028.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu meraih sebanyak 4,811 undi, yang disifatkannya sebagai satu jumlah besar, namun beliau menganggap pencapaian itu sebagai satu amanah besar yang harus dipikul bersama-sama barisan kepimpinan baharu parti.

Iklan
Iklan

"Saya amat terkejut tetapi pada masa yang sama amat bersyukur kerana diberi kepercayaan dan sokongan luar biasa daripada rakan-rakan serta ahli parti.

"Ini bukan kemenangan peribadi, tetapi satu amanah besar yang saya dan seluruh barisan kepimpinan baharu perlu galas bersama,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas keputusan diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat PKR, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.

Keputusan itu diumumkan sejurus selepas Konvensyen Nasional PKR dirasmikan oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, Johor Bahru, pada malam Jumaat.

Iklan

Menurut Fahmi, fokus utama kini adalah memperkukuhkan gerak kerja parti di semua peringkat sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

"Saya jangka rakan-rakan pimpinan akan mengambil sedikit masa untuk turun ke kawasan masing-masing, menyantuni anggota dan masyarakat. Selepas itu, kita akan gerakkan jentera parti hingga ke akar umbi.

"Pesanan Datuk Seri Presiden juga jelas, iaitu kita mesti kukuhkan hubungan antara pimpinan pusat dan anggota akar umbi dengar suara mereka dan bantu dalam apa juga isu yang mereka hadapi,” tambahnya.

Selain Fahmi, Syed Ahmad Abdul Rahman Alhadad atau lebih dikenali sebagai Altimet turut memenangi jawatan Ahli MPP PKR bagi penggal 2025–2028.

Pemilihan kali ini menyaksikan seramai 251 calon menawarkan diri untuk bertanding, merangkumi 104 pencalonan bagi MPP, 85 calon bagi Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan (AMK), dan 62 bagi Majlis Pimpinan Wanita.