Pengguna redah semak, KTMB tampil mohon maaf

Iklan
Rakaman video yang dimuat naik seorang pengguna TikTok menunjukkan beberapa penumpang terpaksa meredah kawasan semak dan hutan untuk sampai ke destinasi masing-masing. Foto sumber TikTok banshee

SHAH ALAM – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memohon maaf atas kesulitan yang dialami oleh penumpang susulan insiden gangguan perkhidmatan melibatkan trennya pada Rabu.

KTMB dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata, KTM Komuter Nombor 2034 yang melalui laluan Pulau Sebang ke Batu Caves telah terkandas di antara Stesen Kajang dan Serdang akibat pokok tumbang sehingga menyebabkan alat talian atas terputus.

Iklan
Iklan

"Insiden ini berlaku akibat pokok tumbang yang menyebabkan alat talian atas putus dan telah menjejaskan perkhidmatan KTM Komuter laluan Pulau Sebang–Batu Caves–Pulau Sebang.

"Perkhidmatan bas perantara telah disediakan bagi laluan yang terjejas.

Iklan

"Sebagai langkah keselamatan, penumpang yang berada di dalam KTM Komuter No. 2034 turun dari tren secara terkawal dan dibantu oleh Polis Bantuan serta kakitangan KTMB yang bertugas,” jelas kenyataan itu.

Sebelum ini, rakaman video yang dimuat naik oleh seorang pengguna TikTok menunjukkan beberapa penumpang terpaksa meredah kawasan semak dan hutan untuk sampai ke destinasi masing-masing.

Iklan

Menerusi kapsyen video tersebut, pengguna berkenaan mendakwa tren mengalami kelewatan selama tiga jam dan situasi itu memaksa mereka menjalani pengalaman seperti ‘jungle trekking’.

Susulan itu, tindakan penumpang berjalan kaki meredah kawasan semak mendapat perhatian ramai dan mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial.

KTMB memohon maaf atas kesulitan yang dialami oleh penumpang susulan insiden gangguan perkhidmatan melibatkan trennya pada Rabu.

Dalam pada itu, KTMB memaklumkan bahawa kerja-kerja pembersihan dan baik pulih telah berjaya diselesaikan pada hari yang sama, dan perkhidmatannya kembali beroperasi seperti biasa pada jam 6.52 petang.

Jelas KTMB, pihaknya menghargai kesabaran dan pemahaman semua penumpang yang terjejas, dan komited untuk menambah baik pengurusan insiden bagi meningkatkan kecekapan tindak balas pada masa hadapan.

"Terima kasih atas keprihatinan anda,” tambah kenyataan itu.