KOTA BHARU - Dasar Rumah Mampu Milik Kelantan yang dinilai semula dijangka dimuktamadkan sebelum hujung tahun ini bagi membolehkan lebih banyak projek rumah mampu milik dibina untuk rakyat di negeri ini.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Hilmi Abdullah berkata, penilaian semula itu berikutan kenaikan kos pembinaan yang menyebabkan pemaju tidak lagi mampu menyediakan rumah pada harga lama.
Menurut beliau, dasar semasa menetapkan rumah kos rendah berkeluasan 79 meter persegi (m²) dijual antara RM80,000 hingga RM85,000, sederhana rendah (84m²) antara RM80,000 hingga RM130,000 manakala kos sederhana (93m²) antara RM130,000 ke RM180,000.
"Sekarang, dengan RM180,000 pun pemaju tak dapat buat rumah 93 meter persegi.
"Sebab itu kita kaji semula harga dan dasar ini,” katanya kepada Sinar Harian selepas merasmikan Kempen Bina Rumah Atas Tanah Sendiri anjuran Persatuan Kontraktor Perumahan Malaysia (PKPM) Kelantan di pusat membeli-belah di Jalan Hamzah di sini pada Jumaat.
Turut hadir, Presiden PKPM, Hasniro Hasbullah.
Hilmi berkata, dasar sedia ada mewajibkan pembinaan rumah mampu milik bagi projek yang melebihi 1.2 hektar atau 250 unit.
"Untuk projek sebegini, pemaju wajib bina 20 peratus rumah mampu milik iaitu 10 peratus rumah kos sederhana, lima peratus rumah sederhana rendah dan lima peratus rumah kos rendah.
"Bagi projek melebihi dua hektar pula, peratusannya adalah 15 peratus iaitu lima peratus bagi setiap kategori rumah,” katanya.
Beliau menjelaskan, bagi pemaju yang tidak dapat menyediakan rumah mampu milik kerana kos tinggi, mereka boleh membayar levi kepada kerajaan negeri.
"Levi ini akan dimasukkan dalam Tabung Perumahan Rakyat Kelantan dan digunakan untuk bina rumah oleh kerajaan sendiri,” katanya.
Sementara itu, Hasniro memaklumkan PKPM Kelantan kini mempunyai 60 kontraktor berdaftar dan berpengalaman dalam pembinaan rumah di atas tanah sendiri.
"Expo beri peluang kepada rakyat yang ada tanah dan mahu bina rumah sendiri, selain ada juga ahli PKPM yang tawarkan pakej rumah berserta tanah.
"Bank dan pembekal bahan binaan pun ada sertai, jadi pembeli boleh buat perbandingan dan terus berurusan,” katanya.