Ahmad Zahid cadang gubal akta baharu, naik taraf Majlis TVET Negara

Iklan
Ahmad Zahid ketika sidang akhbar selepas sesi Pemukiman Setahun Selepas Kongres Ekonomi Bumiputera di Putrajaya pada Jumaat.

PUTRAJAYA - Akta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dicadangkan untuk digubal bagi memperkasa ekosistem pendidikan baharu negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, langkah itu bagi memastikan koordinasi lebih mantap antara 12 kementerian yang terlibat secara langsung dalam penyampaian pendidikan TVET.

Iklan
Iklan

"Satu ekosistem baharu yang disarankan oleh Kongres Ekonomi Bumiputera ini perlu dilaksanakan dengan penyelarasan menyeluruh, maka, satu Akta TVET perlu digubal bagi menyatukan pendekatan dan hala tuju,” katanya.

Beliau berkata demikian meneruskan sidang akhbar sempena Sesi Pemukiman Setahun Selepas Kongres Ekonomi Bumiputera di sini, pada Jumaat.

Iklan

Selain itu, katanya, kerajaan juga dicadang untuk menubuhkan Suruhanjaya TVET bagi menaik taraf peranan Majlis TVET Negara sedia ada.

"Suruhanjaya ini bukan satu entiti baharu yang memerlukan tambahan penjawat awam atau peruntukan besar.

Iklan

"Ia bertindak menyelaras dan mengoptimumkan fungsi sedia ada secara lebih berfokus,” ujarnya.

Mengulas mengenai kajian gaji lepasan TVET yang didakwa hanya 'cukup makan', Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara berkata, kerajaan kini giat menjalinkan kerjasama dengan industri bagi memastikan lepasan institusi TVET menerima gaji premium.

"Melalui libat urus dengan industri, kita dapati ramai antara mereka bersedia menawarkan gaji premium tanpa perlu melalui latihan tambahan kerana lepasan TVET sudah sedia memiliki kemahiran diperlukan,” katanya.

Menurut beliau, cadangan kadar gaji premium kepada lepasan TVET berada dalam lingkungan RM3,500 untuk pemegang Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 dan hingga RM5,000 untuk SKM Tahap 5.

"Ini membuktikan laluan TVET bukan lagi pilihan kedua tetapi menjadi antara jalan utama untuk menjamin masa depan anak muda,” katanya.

Menurut beliau, kerajaan telah memeterai pelbagai bentuk perjanjian termasuk memorandum persefahaman (MoU) dan memorandum perjanjian (MoA) dengan syarikat-syarikat berkaitan bagi tujuan itu.

"Mereka bukan sahaja ambil pelajar sebagai pelatih sebelum tamat pengajian, malah turut menaja peralatan latihan di institusi TVET. Ini adalah bentuk perkongsian pintar yang memberi manfaat dua hala,” jelas beliau.