JERANTUT- Seramai 792 penduduk Kampung Kuala Tembeling di sini bakal menikmati manfaat Program Kampung Angkat Madani menerusi peruntukan RM1 juta yang disalurkan pada tahun ini.
Peruntukan itu membabitkan 11 projek pembaikan; menaik taraf dan pengubahsuaian fasiliti awam; pusat komuniti dan premis kerajaan di kampung tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kuala Tembeling, Baharim Abu Samah bersyukur dengan pemilihan kampung tersebut, sekali gus dapat memberikan keselesaan dan kemudahan buat penduduk.
"Antara projek yang dijalankan adalah baik pulih dan naik taraf serta pembinaan baharu balai masak masjid di kampung ini.
"Kita berharap projek-projek yang dijalankan nanti dapat memberikan keselesaan dan kemudahan buat penduduk," katanya.
Beliau ditemui selepas majlis peluncuran program itu yang disempurnakan Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Ruji Ubi di sini pada Jumaat.
Dalam pada itu, Ruji memberitahu, program Kampung Angkat Madani yang diperkenalkan dalam Belanjawan 2024 diteruskan lagi pada tahun ini.
Menurutnya, sebanyak 200 kampung seluruh negara disasarkan pada tahun ini dengan peruntukan sebanyak RM200 juta disediakan oleh Kerajaan Madani bagi memberi manfaat terutamanya kepada masyarakat di luar bandar.
"Sebanyak 43 buah kampung telah menerima manfaat daripada pelaksanaan Program Kampung Angkat Madani 2024.
"Pencapaian ini telah membuktikan bahawa jentera kerajaan telah bergerak bersama-sama di luar kebiasaan bagi memastikan projek-projek yang dirancang
disiapkan dalam tempoh ditetapkan," katanya.
Beliau juga menekankan kepentingan pemantauan yang teliti terhadap semua projek di bawah program tersebut sehingga siap sepenuhnya tanpa ada kompromi dari segi kualitinya.
"Hal ini demikian kerana pemantauan yang rapi merupakan kunci bagi memastikan kemudahan yang dirancang dapat digunakan dan dimanfaatkan sepenuhnya oleh masyarakat," tambahnya.