KOTA KINABALU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyenaraikan 10 dan 11 jenis barangan di dalam Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena sambutan Pesta Kaamatan dan Hari Gawai tahun ini.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, tempoh pelaksanaan SHMMP bagi dua perayaan ini adalah selama tujuh hari iaitu pada hari kemuncak dan tiga hari sebelum serta selepas kemuncak perayaan.
"Bagi Pesta Kaamatan SHMMP bermula 27 Mei hingga 2 Jun manakala bagi Hari Gawai bermula pada 29 Mei hingga 4 Jun, iaitu tiga hari hari sebelum perayaan bermula dan tiga hari selepas hari kemuncak.
"Bagi SHMMP Pesta Kaamatan, kementerian telah menyenaraikan 10 jenis barangan iaitu peningkatan dua barangan iaitu bawang kuning import dan bawang merah besar import berbanding lapan barangan pada tahun 2024.
"SHMMP Hari Gawai pula sebanyak 11 jenis barangan telah disenaraikan berbanding lapan barangan semasa pelaksanaannya sebelum ini iaitu melibatkan tiga tambahan iaitu kelapa biji, kelapa parut dan santan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar bagi pengumuman SHMMP bagi perayaan Pesta Kaamatan dan Hari Gawai di Dewan Pisompuruan, Kampung Kobuni, Inanam, pada Jumaat.
Katanya lagi, penentuan jenis, harga maksimum dan tempoh bagi SHMMP Pesta Kaamatan dan Hari Gawai 2025 dibuat melalui perbincangan KPDN bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dan agensi di bawahnya dengan mengambil kira pandangan pemain industri.
"Antara barangan yang disenaraikan dalam SHMMP Pesta Kaamatan 2025 ialah khinzir hidup (harga maksimum di peringkat ladang sahaja), daging khinzir (daging dan lemak), daging khinzir (perut), daging kerbau import India (tidak termasuk bahagian batang pinang), kepak ayam, cili kering keriting, bawang merah kecil (India), bawang putih (China), bawang kuning besar import dan bawang merah besar import.
"Bagi senarai untuk SHMMP Hari Gawai pula ialah khinzir hidup (harga maksimum di peringkat ladang sahaja, daging khinzir (daging dan lemak), daging khinzir (perut), ayam tua hidup, kepak ayam, kubis bulat import (Indonesia dan China) (tidak termasuk kubis Beijing), bawang putih (China), cili kering keriting, kelapa biji, kelapa parut dan Santan," katanya.
Mengulas lanjut, beliau juga peka dengan isu berkaitan bekalan daging khinzir yang terkait dengan wabak penyakit di ladang-ladang tertentu.
"Namun untuk perayaan kali ini kita dapat masukkan barangan tersebut dalam SHMMP dan kalau dilihat di Sabah contohnya, menerusi persetujuan industri beberapa harga tertentu bagi daging khinzir perut dan lemak serta dagingnya dapat dikurangkan harganya.
"Bagi di Sarawak pula, ada peningkatan sedikit tetapi masih rendah jika dibandingkan dengan Sabah. Maksudnya setakat ini harga masih terkawal dan KPKM juga mengambil pendekatan tertentu dengan memaklumkan lebih awal mengenai bekalan import yang boleh dibawa masuk bagi memastikan tawaran harga tidak terlalu membebankan," katanya.
Ahli Parlimen Papar itu turut menegaskan bahawa SHMMP bagi kedua-dua perayaan itu akan dikuatkuasakan melalui Akta Kawalan Harga dan Anti pencatutan 2011 (Akta 723) dan membolehkan penentuan harga maksimum dibuat.
"Harga maksimum yang telah ditetapkan untuk skim ini boleh disemak melalui laman web KPDN. Selain itu, pegawai penguat kuasa KPDN juga akan ditugaskan di lokasi strategik seperti di pasar awam, pasar tani, pasar tamu dan pusat membeli-belah barangan keperluan perayaan.
"Pada masa sama, penguatkuasaan secara berhemah dilaksanakan dengan memberi pendidikan, nasihat dan amaran supaya para peniaga mematuhi undang-undang yang berkuat kuasa dan mengamalkan perniagaan yang beretika," katanya.