Bengkel kereta beroperasi tanpa lesen diserbu, 13 lelaki ditahan

Iklan
Pihak berkuasa memeriksa barangan di sebuah bengkel dalam Ops Mega pada Khamis.

KUALA TERENGGANU – Sebanyak 15 premis termasuk bengkel kereta yang beroperasi sekitar daerah Kemaman dan Dungun diserbu pihak berkuasa menerusi Op Mega kerana disyaki melanggar peraturan dengan beroperasi tanpa lesen.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, serbuan dilakukan pada Khamis berdasarkan maklumat risikan terdapat aktiviti melanggar undang-undang di premis terbabit.

Iklan
Iklan

"Dalam operasi itu, seramai 22 lelaki diperiksa melibatkan Melayu, Cina serta warga asing dari Myanmar dan Bangladesh.

"Sebanyak 13 tangkapan dibuat melibatkan lima lelaki Melayu, tiga lelaki Cina, tiga warga Myanmar dan dua warga Bangladesh atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil, Akta Peniaga Sekendhen dan Akta Imigresen," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Iklan

Beliau berkata, operasi bersepadu berkenaan dijalankan melibatkan Cawangan D4, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman dan IPD Dungun dengan kerjasama Jabatan Imigresen (JIM), Jabatan Alam Sekitar (JAS), pihak berkuasa tempatan (PBT), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta Telekom Malaysia (TM).

Jelasnya, dalam serbuan itu pihak berkuasa telah mengeluarkan sebanyak tiga notis atas kesalahan tiada lesen perniagaan.

Iklan
Motosikal turut dirampas dalam serbuan Op Mega di 15 premis termasuk bengkel kereta pada Khamis.

"Beberapa barangan seperti keratan kabel, buku daftar jual beli, alat penimbang, besi buruk, gegelung dawai tembaga, 'grinder' dan enjin motosikal turut dirampas.

"Kita juga mengambil sampel minyak terpakai untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 31 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974," katanya.

Dalam pada itu, beliau menyeru agar masyarakat dapat bersama-sama mewujudkan persekitaran selamat dan bertanggungjawab.

"PDRM Terengganu mengingatkan orang ramai agar memohon permit sah dan mematuhi undang-undang. Jika ada maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan, laporkan segera kepada pihak berkuasa," katanya.