Titah Adendum: Najib fail prosiding hina mahkamah terhadap Ahmad Terrirudin

Iklan
Najib memohon Ahmad Terrirudin (kanan) dipenjara kerana mendakwa bekas Peguam Negara itu telah menghina mahkamah berkaitan Titah Adendum.

KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memohon Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh dipenjara kerana mendakwa bekas Peguam Negara itu telah menghina mahkamah berkaitan Titah Adendum.

Najib, 72, menyatakan demikian dalam permohonan komital melalui firma guaman Tetuan Shafee & Co di Mahkamah Persekutuan di Putrajaya pada Rabu.

Iklan
Iklan

Menurut kenyataan firma tersebut, bekas Ahli Parlimen Pekan itu menggesa Ahmad Terrirudin yang kini Hakim Mahkamah Persekutuan memberikan penjelasan sebelum dipertimbangkan untuk dikenakan tindakan penghinaan mahkamah.

Firma guaman itu berkata, salinan Titah Adendum bertarikh 29 Januari 2024 yang dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 dan diserahkan kepada Najib menerusi anaknya, Datuk Mohamad Nizar, turut disahkan ketulenannya oleh Majlis Kesultanan Pahang melalui surat bertarikh 4 Januari lalu.

Iklan

Kenyataan itu menambah, Titah Adendum berkenaan secara langsung ditujukan kepada Ahmad Terrirudin dalam kapasitinya sebagai Peguam Negara ketika itu untuk melaksanakan kandungan titah tersebut.

Bagaimanapun, Najib mendakwa Ahmad Terrirudin ketika memegang jawatan berkenaan telah mengarahkan pegawainya supaya mengelirukan Mahkamah Tinggi yang mendengar permohonan semakan kehakiman berhubung perkara itu.

Iklan

Menurut kenyataan itu, Najib menegaskan Ahmad Terrirudin seharusnya melaksanakan kewajipan penjawat awam untuk bersikap telus kepada mahkamah, memandangkan beliau mempunyai pengetahuan langsung mengenai kewujudan dan kandungan Titah Adendum tersebut.

"Memandangkan Ahmad Terrirudin kini memegang jawatan sebagai Hakim mahkamah tertinggi, Najib berpendapat beliau perlu diberikan peluang untuk menjawab semua dakwaan serius yang dikemukakan terhadapnya.

"Najib turut berpendapat tindakan Ahmad Terrirudin telah mencemarkan nama baik institusi kehakiman dan wajar dikenakan hukuman berat oleh mahkamah," katanya.

Dalam masa sama, firma guaman tersebut menyeru semua pihak termasuk pemerhati agar tidak membuat sebarang spekulasi, sebaliknya membiarkan mahkamah menjalankan tugasnya dengan adil dan saksama.