Zahid gesa anjakan besar laksana agenda bumiputera

Iklan
Ahmad Zahid

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Semua pihak terlibat dalam pelaksanaan agenda bumiputera digesa untuk berani melakukan anjakan besar demi memastikan hasil pemukiman setahun selepas Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 tidak tinggal sebagai dokumen semata-mata.

Tegas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sudah tiba masa gerak kerja berstruktur dan pelan yang ada diterjemahkan kepada tindakan berani dan bersepadu bagi melonjakkan penyertaan bumiputera dalam ekonomi negara.

Iklan
Iklan

"Saya mahukan satu dorongan mantap dan momentum nasional untuk menjadikan misi ini sebagai satu gerakan sebenar.

"Setakat ini, pelaksanaan program dan projek di bawah Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) telah mencapai lebih dari 15 peratus," katanya semasa menyampaikan ucapan perasmian Sesi Pemukiman Setahun Selepas Kongres Ekonomi Bumiputera 2024, di sini, pada Jumaat.

Iklan

Ujar beliau, salah satu keutamaan mendesak ialah keperluan memperkemas komunikasi strategik oleh semua pemacu di bawah PuTERA35.

Katanya, pelan komunikasi itu mesti jelas, agresif dan konsisten bagi memastikan rakyat memahami dan menilai kemajuan inisiatif yang dilaksanakan.

Iklan

"Rakyat berhak tahu berapa usahawan bumiputera telah dilahirkan tahun ini? Berapa yang telah naik daripada mikro kepada perusahaan sederhana? Berapa graduan TVET kini bergaji RM4,000 ke atas?

"Data tanpa naratif tidak hidup. Naratif tanpa data hanyalah propaganda,” tegas beliau.

Tambah Zahid, PuTERA35 bukan sekadar satu pelan yang menghiasi fail kabinet tetapi satu komitmen nasional untuk memperkukuh penguasaan ekonomi oleh bumiputera.

Namun katanya, tanpa pelaksanaan yang berdisiplin dan keputusan yang tegas, komitmen itu hanya akan menjadi angan-angan.

"Sebab itu, saya mahu semua yang berada di sini hari ini sama ada kementerian, agensi, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), penyelaras mahupun pelaksana, kita mesti bergerak seiring, menyemak dengan jujur, menilai dengan telus, dan bertindak dengan tegas.

"Kita sudah ada pelan. Kita sudah ada struktur. Kini, yang diperlukan ialah disiplin pelaksanaan dan keberanian membuat keputusan,” ujarnya lagi.

Menurut Ahmad Zahid, pelaporan pelaksanaan agenda bumiputera perlu diubah pendekatan agar lebih proaktif, telus dan mudah diakses rakyat.

Beliau berkata, pelaporan berbentuk tahunan yang pasif sudah tidak relevan, sebaliknya memerlukan sistem pelaporan berasaskan data masa nyata seperti dashboard digital yang digunakan dalam sistem eKasih dan subsidi bersasar.

"Jika eKasih dan subsidi bersasar ada dashboard digital, kenapa tiada dashboard untuk memantau kemajuan agenda bumiputera?" soalnya.

Kata beliau, GLC, GLIC digesa memainkan peranan lebih strategik sebagai rakan pelaksana utama dalam agenda berkenaan.

"Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah beri mandat yang jelas iaitu GLC dan GLIC mesti melahirkan lebih ramai usahawan bumiputera dan memperluas rantaian nilai mereka,” katanya.

Menurut Ahmad Zahid, bagi memperkemas pelaksanaan inisiatif di bawah PuTERA35, tanggungjawab penyelarasan telah diletakkan secara langsung di bawah Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) di setiap kementerian.

Katanya, peranan itu akan disokong oleh Unit Pemerkasaan Bumiputera (UPB) yang bakal distruktur semula supaya lebih relevan dengan keperluan semasa.

Dalam masa sama, Zahid berkata, aspek pemerkasaan tanah bumiputera juga tidak boleh diabaikan dan perlu diberi perhatian serius.

"Saya mahu potensi hartanah bumiputera yang tidak dimanfaatkan mesti dikenal pasti, dipulihkan dan dimobilisasi secara strategik,” katanya.

Mengakhiri ucapan, Ahmad Zahid turut menyeru semua pihak agar tidak lagi beroperasi dalam mod biasa, sebaliknya berani melakukan intervensi yang berpaksikan data dan memberi hasil yang nyata.

"Sekarang adalah masa untuk membuktikan bahawa segala yang dirancang benar-benar dilaksanakan,” katanya.