PEMAIN sayap sensasi Manchester United, Alejandro Garnacho mencetuskan spekulasi mengenai masa depannya bersama gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.
Ini selepas pemain kelahiran Madrid, Sepanyol yang kini menyarung jersi Argentina secara terbuka mempersoalkan keputusan pengendali, Ruben Amorim, yang hanya memberinya 20 minit untuk beraksi dalam perlawanan akhir Liga Europa yang menyaksikan United tewas 0-1 kepada Tottenham Hotspur di Stadium San Mames, Bilbao.
Jaringan tunggal oleh Brennan Johnson pada separuh masa pertama bukan sahaja menghadiahkan The Lilywhites trofi pertama mereka dalam tempoh 17 tahun, malah turut memadam harapan United untuk beraksi di pentas Eropah musim depan.
Bintang muda berusia 20 tahun itu, yang sebelum ini menjadi tonggak utama dalam kempen Liga Europa, diketepikan daripada kesebelasan utama apabila Amorim memilih Mason Mount dan hanya dimasukkan pada minit ke-71 permainan.
Pemain antarabangsa La Albiceleste itu, yang pernah dikaitkan dengan perpindahan ke Chelsea dan Napoli pada jendela perpindahan Januari lalu, secara terbuka meluahkan rasa tidak puas hati terhadap peranan kecil yang diberikan kepadanya dalam perlawanan akhir tersebut.
"Perlawanan akhir ini mungkin akan mempengaruhi keputusan saya, tetapi keseluruhan musim ini dan situasi kelab juga akan jadi pertimbangan. Saya mahu menikmati musim panas dahulu dan lihat apa yang akan berlaku selepas itu,” kata Garnacho.
Beberapa jam sebelum sepak mula, Garnacho memuat naik gambar di media sosial yang menunjukkan dirinya meraikan kejayaan dalam Piala FA 2024 dan Perisai Komuniti 2024 — dipercayai sebagai reaksi terhadap keputusan Amorim meletakkannya di bangku simpanan.
Abangnya, Roberto Garnacho, turut melontarkan kritikan pedas menerusi Instagram dengan menyatakan adiknya telah dikorbankan dalam perlawanan penting itu.
"Bekerja lebih keras daripada orang lain, membantu setiap pusingan, menjaringkan dua gol dalam dua perlawanan akhir sebelum ini, tetapi hanya diberi peluang bermain selama 19 minit dan kemudian dipersalahkan selepas perlawanan,” tulis Roberto.
Reaksi Roberto hadir apabila Amorim dalam sidang media selepas perlawanan merujuk kepada kesilapan Garnacho yang gagal menyempurnakan peluang keemasan dalam aksi separuh akhir kedua menentang Athletic Bilbao.
Apabila ditanya sama ada beliau sepatutnya memasukkan Garnacho lebih awal, Amorim menjawab:"Berapa kali kita sudah berbincang perkara seperti ini, dan keputusannya berbeza? Ada pemain seperti Mason Mount yang masuk ketika menentang Bilbao dan mengubah permainan.
"Jadi sekarang memang mudah untuk berkata begitu. Siapa yang mensia-siakan peluang terbaik pada separuh masa pertama menentang Bilbao? Ya, Garnacho. Sudah tentu, sekarang ini mudah untuk kita bercakap pelbagai pandangan.”
Garnacho sebelum ini pernah menimbulkan kontroversi apabila memohon maaf kepada bekas pengendali, Erik ten Hag, kerana ‘menyukai’ hantaran media sosial yang mengkritik pengendali dari Belanda itu selepas kekalahan kepada Bournemouth dalam saingan liga.
Beliau dan rakan sepasukan, Marcus Rashford, turut diketepikan daripada perlawanan menentang Manchester City pada Disember lalu, yang menurut Amorim berpunca daripada prestasi ketika latihan, persembahan perlawanan dan tahap komitmen bersama pasukan.
Pada Februari lalu, Amorim mendedahkan Garnacho telah memohon maaf kepada rakan sepasukan selepas bertindak keluar ke terowong sejurus digantikan dalam perlawanan menentang Ipswich Town.
Sebagai rekod, Garnacho bukan satu-satunya pemain United yang mencetuskan tanda tanya mengenai masa depan di Old Trafford.
Kapten pasukan, Bruno Fernandes, turut memberi bayangan bahawa beliau bersedia meninggalkan kelab sekiranya pihak pengurusan kelab mahu menjualnya bagi menjana keuntungan.
Pemain tengah antarabangsa Portugal itu sebelum ini dikaitkan dengan perpindahan ke kelab Arab Saudi, Al-Hilal.
"Saya sentiasa berterus terang. Jika kelab merasakan sudah tiba masanya untuk berpisah kerana ingin menjana keuntungan atau sebab-sebab lain, itu adalah realiti bola sepak. Kadangkala perkara seperti ini berlaku.
"Saya sentiasa berkata akan terus kekal di sini sehingga pengurusan kelab menyatakan sudah tiba masanya untuk saya pergi dari Manchester United. Saya bersemangat untuk terus memberikan yang terbaik demi mengembalikan kegemilangan kelab ini.
"Namun, jika suatu hari nanti kelab merasakan saya sudah tidak diperlukan, itulah lumrah bola sepak — kita tidak akan tahu. Tetapi saya tetap berpegang kepada kata-kata saya,” tegas Fernandes.
LIGA PERDANA INGGERIS
AHAD (25 MEI)
Bournemouth lwn Leicester City
Fulham lwn Manchester City
Wolverhampton lwn Brentford
Nottingham Forest lwn Chelsea
Manchester United lwn Aston Villa
Newcastle United lwn Everton
Liverpool lwn Crystal Palace
Ipswich Town lwn West Ham United
Tottenham Hotspur lwn Brighton and Hove Albion
*Semua perlawanan bermula jam 11 malam