Umno Bangi gesa kerajaan laksana prinsip ‘rule of law’

Iklan
Sebahagian ahli Umno Bahagian Bangi hadir untuk membuat laporan terhadap Waytha Moorthy.
BANGI - Umno Bahagian Bangi menggesa kerajaan melaksanakan prinsip kedaulatan undang-undang atau ‘rule of law’ terhadap isu kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waytha Moorthy dalam video yang tular baru-baru ini.

Ketua Umno Bahagian Bangi, Datuk Mohd Zaidi Md Zain @ Zakaria berkata, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pernah menekankan prinsip itu apabila menerajui Malaysia Baharu.

"Mahathir perlu mengotakan janjinya untuk melaksanakan prinsip ‘rule of law’, tidak perlu berdolak-dalik tentang perkara ini, tidak kira individu itu menteri atau rakyat, jika ia dipercayai cuba menghasut dan membangkitkan kemarahan perlu dikenakan tindakan tegas.

"Dalam kenyataan Mahathir sebelum ini memaklumkan bahawa Waytha Moorthy amat kecewa dan dipercayai membuat kenyataan kepada orang asing bahawa Malaysia tiada keadilan, namun apakah beliau (Waytha Moorthy) tidak memikirkan perasaan rakyat dengan menyebarkan dakwaan yang tidak benar itu,” katanya.

Menurutnya, Waytha Moorthy dipercayai cuba berniat untuk menghasut, membangkitkan rasa benci dan menimbulkan ketegangan antara kaum.

"Perkara ini juga boleh mengancam keselamatan Negara,” katanya pada sidang media selepas Umno Bangi membuat laporan di Balai Polis Bandar Baru Bangi di sini, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, Waytha Moorthy tidak sewajarnya mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah itu.

"Tindakan tegas wajar diambil sebagai pengajaran kepada mana-mana pihak yang cuba menghasut sehingga menggugat ketenteraman awam,” katanya.