SHAH ALAM – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin mencadangkan satu ‘konsensus nasional baharu’ dibentuk dengan matlamat menyatukan rakyat tanpa mengira kaum, agama atau wilayah.
Ahli Parlimen Larut itu berkata, keperluan untuk membina konsensus tersebut lebih mendesak berbanding sebelum ini.
"Konsensus itu tidak boleh terhad kepada satu kaum, satu agama atau satu wilayah, tetapi menyatukan kelas politik, suara keagamaan, masyarakat sivil dan rakyat.
"Pada pendapat saya, konsensus baharu itu mesti dibina atas tiga teras utama meliputi matlamat bersama, kemakmuran bersama serta tadbir urus yang penuh belas ihsan," katanya.
Beliau berkata sedemikian ketika membentangkan tajuk"A Bird’s-Eye View of the Malaysian Political Landscape – Building A New Consensus” di Institut Yusof Ishak, Singapura pada Khamis.
Jelas Hamzah, teras utama pertama iaitu matlamat bersama adalah bagi menggerakkan pembinaan negara melangkaui kepartian.
"Malaysia mesti bergerak melepasi zaman kelangsungan politik. Kita mesti menolak politik dendam dan menghidupkan semula semangat kenegaraan bersama," ujarnya.
Menurut bekas Menteri Dalam Negeri itu, teras pembinaan konsensus baharu nasional bukan sekadar soal kemenangan pilihan raya, sebaliknya tentang sama ada Malaysia kekal dihormati dan berdaulat dalam dunia multipolar.
"Matlamat bersama itu tidak boleh sekadar retorik. Ia mesti dijadikan doktrin nasional,” tegas beliau.
Hamzah menjelaskan, teras kedua melibatkan kemakmuran bersama pula menekankan bahawa tiada komuniti harus disisihkan dalam arus pembangunan negara.
"Matlamat pembangunan Malaysia mesti ditakrif semula. Kita tidak mampu untuk mempunyai sebuah Malaysia, yang mana warna kulit atau poskod menentukan kualiti hidup,” katanya.
Beliau yang juga Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memaklumkan, teras ketiga tentang tadbir urus penuh belas ihsan pula berasaskan prinsip prihatin, kemanusiaan dan maruah dalam pentadbiran.
Menurutnya, teras ketiga terbabit membawa visi untuk melayan rakyat sebagai rakan kongsi dan bukannya sebagai beban.
Justeru, Hamzah berkata, Malaysia akan bangkit semula di mata dunia sekiranya rakyat bersatu di bawah satu konsensus nasional baharu yang berakar pada kerendahan hati politik, kejujuran nasional dan keadilan ekonomi.