JOHOR BAHRU - Keberanian sahaja tidak cukup untuk menjadi pemimpin muda yang berkesan, sebaliknya keupayaan mencerna idea dan menawarkan penyelesaian kepada masyarakat juga perlu dimiliki setiap anggota Angkatan Muda Keadilan (AMK).
Ketua AMK, Adam Adli Abdul Halim berkata, seorang pemimpin muda perlu tampil dengan kematangan berfikir serta mempunyai tawaran yang jelas kepada rakyat, bukan sekadar bergantung pada semangat atau aksi semata-mata.
"Kita mahu lari daripada imej yang sering orang kaitkan dengan pergerakan sayap pemuda. Ia tidak seharusnya terhad kepada aksi semata-mata, tetapi turut melibatkan pemikiran dan tawaran idea sebagai seorang pemimpin.
"Pemimpin bukan hanya perlu berani, malah wajib bijak mencerna idea serta mencari penyelesaian terbaik untuk rakyat,” katanya ketika berucap pada Majlis Rapat AMK 2025 di Berjaya Waterfront Hotel di sini, pada Khamis.
Turut hadir, Muhammad Kamil Abdul Munim, yang menang tanpa bertanding bagi jawatan Ketua AMK Malaysia.
Majlis Rapat AMK 2025 dianjurkan bagi menghimpunkan perwakilan dari seluruh negara untuk mendengar secara langsung hasrat, visi dan misi yang dibawa calon bertanding bagi jawatan Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Timbalan Ketua dan Naib Ketua AMK Malaysia.
Adam, yang juga Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya berkata, tradisi dialog dan debat dalam kalangan pemimpin muda diteruskan sebagai medan percambahan idea dan pemantapan hala tuju pergerakan sayap itu.
"Tumpuan utama adalah kepada pengisian dan penyampaian idea yang bernas. Rapat ini bukan sekadar medan pertemuan, tetapi wadah untuk menilai kepimpinan yang bersedia memikul amanah parti.
"Melihat calon-calon yang tampil dengan visi lima hingga enam tahun akan datang, saya yakin masa depan parti ini cerah. Yang menang nanti, jalankan tugas dengan lebih baik. Jangan tunggu peluang dibuka, sebaliknya, buka sendiri ruang itu,” ujarnya.
Sementara itu, Muhammad Kamil berkata, beliau akan meneruskan penganjuran Rapat AMK pada setiap musim pemilihan parti bagi menyemarakkan semangat demokrasi dalam kalangan ahli muda.
"Saya harap sikap matang dan budaya berkempen yang kita tonjolkan ini menjadi penanda aras buat AMK.
"Selepas pemilihan, kita perlu turun ke lapangan, perkuat jentera dan yakinkan anak muda bahawa AMK adalah wadah perjuangan yang mereka boleh percaya dan harapkan,” ujarnya.