PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah melengkapkan kertas siasatan berkaitan isu rasuah membabitkan proses bagi mempercepatkan permohonan mendapatkan taraf warganegara.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya telah mencadangkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) syor pertuduhan terhadap individu berkaitan.
"Sebelum ini, kita telah menahan enam individu termasuk seorang pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
"Kita juga telah merekod keterangan 11 pegawai dan kakitangan JPN bagi membantu siasatan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat SPRM, di sini, pada Khamis.
Pada 16 Mac, media melaporkan seorang penjawat awam yang ditahan dalam Ops Outlander dipercayai menerima bayaran RM10,000 hingga RM15,000 bagi setiap sijil kelahiran yang dikeluarkan melalui sindiket pendaftaran lewat kelahiran.
Sumber SPRM dilaporkan berkata penjawat awam berkenaan berperanan membantu proses permohonan pendaftaran lewat kelahiran melebihi tempoh 60 hari selepas tarikh kelahiran.
SPRM telah membekukan 11 akaun bank bernilai RM100,000 dan menyita sejumlah 30 dokumen berkaitan siasatan terhadap sindiket berkenaan.
Pada 11 Mac lepas, SPRM menahan 16 individu termasuk seorang pengamal perubatan bergelar Datuk Seri kerana disyaki terlibat kes rasuah berkenaan.
Kesemua suspek berusia 20 hingga 70-an ditahan dalam serbuan di beberapa premis termasuk klinik dan firma guaman di sekitar Lembah Klang dan Johor.
Serbuan berkenaan dijalankan selepas risikan selama kira-kira setahun melalui kerjasama dan perkongsian maklumat antara SPRM dan JPN.
Dalam kes berasingan, Azam berkata, SPRM melaksanakan Op Fastlane 1.0 dan 2.0 juga berkaitan isu rasuah membabitkan proses mempercepatkan mendapatkan kewarganegaraan.
"Kita memfokuskan kepada pegawai Kementerian Dalam Negeri (KDN), Seramai 10 individu termasuk seorang pegawai JPN dan seorang pegawai kementerian berkenaan sejak 17 Mac lalu.
"Kita telah merakam 43 individu termasuk lapan pegawai JPN, seorang pegawai KDN dan 34 orang awam bagi membantu siasatan," katanya.