Tubuh unit integriti di setiap jabatan bendung rasuah

Iklan
Penubuhan atau pemerkasaan unit integriti di setiap jabatan merupakan langkah strategik bagi membendung gejala rasuah dalam kalangan anggota polis. Gambar hiasan (Gambar kecil: Mohamad Nazri)

SHAH ALAM - Penubuhan atau pemerkasaan unit integriti di setiap jabatan merupakan langkah strategik bagi membendung gejala rasuah dalam kalangan anggota polis.

Pengerusi Gerakan Belia 4B Pulau Pinang, Mohamad Nazri Abdul Latiff berkata, unit tersebut bertindak sebagai organ pengawasan dalaman bebas, bertanggungjawab dalam mengesan, menyiasat dan menangani salah laku serta penyalahgunaan kuasa dalam kalangan anggota polis.

Iklan
Iklan

"Mereka menyiasat aduan terhadap anggota polis terutama dalam kes berkaitan penerimaan sogokan.

"Selain itu, unit integriti ini juga menjalankan pemantauan dan pemeriksaan berkala terhadap prosedur penyiasatan.

Iklan

"Mereka juga perlu menilai tahap integriti individu anggota, termasuk pengisytiharan harta dan latar belakang kewangan," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Sebelum ini, media melaporkan dua lans koperal dan seorang bekas koperal polis didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh di atas dua pertuduhan secara bersama memperoleh rasuah RM20,000 bagi tujuan tidak mengambil tindakan terhadap pesalah kes berkaitan pemilikan dadah, dua tahun lalu.

Iklan

Bagaimanapun tertuduh, Lans Koperal Ahmad Rabani Rusnizal, 29, Lans Koperal Mohamad Shukre Mohamed Rowi, 37, dan bekas Koperal, Wan Mohd Nor Imran Wan Seman, 35, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi bagi kedua-dua pertuduhan yang dibacakan secara bersama.

Tambah Mohamad Nazri, selain penguatkuasaan dalaman, unit integriti juga berperanan mendidik warga polis tentang kepentingan etika kerja dan tanggungjawab moral dalam melaksanakan tugas.

"Melalui latihan berkala, garis panduan yang jelas dan pemantauan berterusan, budaya kerja yang berasaskan integriti dapat dibudayakan.

"Pihak berkuasa juga perlu memastikan unit ini tidak dipengaruhi oleh sebarang campur tangan luar yang boleh menjejaskan ketelusan prosesnya.

"Kebebasan dan kecekapan unit ini menjadi kunci kepada kejayaannya dalam membanteras gejala rasuah secara berkesan.

"Penubuhan dan pemerkasaan unit integriti dalam setiap jabatan polis adalah pelaburan jangka panjang yang sangat penting dalam usaha membina pasukan polis yang bersih, berwibawa dan diyakini rakyat.