33 kali pindah wang, baru sedar kena tipu

Iklan
Mangsa kerugian RM447,300 akibat diperdaya sindiket pelaburan dalam talian tidak wujud. Foto hiasan

SIBU - Seorang suri rumah di sini rugi RM447,300 akibat diperdaya sindiket pelaburan dalam talian tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, pihaknya menerima laporan daripada warga emas berusia lingkungan 60-an itu semalam yang mendakwa telah berkenalan dengan seorang wanita dikenali ‘Ah Chong’ menerusi Facebook pada 11 Januari sebelum berhubung dengan suspek lain bernama ‘Amy’ melalui WhatsApp.

Iklan
Iklan

"Suspek telah menawarkan mangsa untuk menyertai satu skim pelaburan saham menerusi satu kumpulan WhatsApp,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, wanita itu dimaklumkan perlu membuat bayaran ke dalam akaun yang diberikan oleh suspek dengan jaminan bahawa keuntungan akan dimasukkan ke akaun yang dimuat naik.

Iklan

"Mangsa yang teruja selepas mendapati pelaburannya mencatat keuntungan sangat tinggi selepas membuat semakan terus membuat 33 transaksi pindahan wang antara 16 April dan 20 Mei ke lima akaun tempatan berjumlah RM447,300.

"Susulan dimaklumkan jumlah keuntungan terkumpulnya telah mencecah RM800,000, mangsa telah meminta membuat pengeluaran, namun suspek mendakwa pelaburan masih berjalan dan memerlukan tambahan modal sebelum sebarang pengeluaran dibenarkan,” katanya.

Iklan

Zulkipli berkata, suri rumah itu akhirnya menyedari telah ditipu dan tampil membuat laporan dengan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Beliau menasihati orang ramai agar berhati-hati dengan tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan luar biasa serta membuat semakan dengan pihak berkuasa sebelum melabur. - Bernama