SETIAP kali menjelang Hari Raya Aidiladha, persoalan berkenaan ibadah korban sering menjadi tumpuan.
Antara yang kerap ditanya oleh sebahagian masyarakat ialah adakah boleh melakukan ibadah korban menggunakan ayam?
Isu itu mungkin timbul kerana ada individu yang mahu menzahirkan semangat berkorban, namun kekangan kewangan menyebabkan mereka mencari alternatif yang lebih murah.
Menjawab persoalan itu, Maktabah Albakri menjelaskan, hanya haiwan-haiwan tertentu sahaja yang dibenarkan untuk dikorbankan dalam pelaksanaan ibadah berkenaan iaitu unta, lembu (termasuk kerbau) dan kambing (termasuk biri-biri dan kibas) serta jenis-jenisnya.
"Selain daripada tiga jenis haiwan ini, ia tidak pernah dinukilkan daripada Nabi Muhammad SAW dalam melakukan ibadah korban.
"Para ulama bersepakat menyatakan bahawa binatang-binatang yang boleh dibuat korban ialah haiwan yang termasuk dalam kategori bahimah al-an’am (haiwan ternakan) yang diwajibkan zakat iaitu unta, lembu (termasuk kerbau) dan kambing (termasuk biri-biri dan kibas),” katanya sebagaimana dipetik menerusi artikel #2144: Pendapat dibolehkan melakukan korban dengan ayam yang disiarkan di laman web Maktabah Albakri.
Menguatkan lagi fakta itu, Maktabah Albakri menyebut bahawa Imam An-Nawawi menyatakan, syarat sah dalam korban ialah haiwan itu hendaklah berasal daripada binatang ternakan iaitu unta, lembu dan kambing.
"Ia termasuklah pelbagai jenis unta, semua jenis lembu dan kambing seperti kibas, ma’iz (kambing jantan) dan sejenisnya.
"Selain itu, hasil daripada percampuran (perkahwinan) antara rusa dan kambing, juga tidaklah sah sebagai haiwan korban kerana tidak termasuk dalam kategori haiwan ternakan,” katanya.
Berbalik kepada persoalan bolehkah ayam dijadikan haiwan korban, Maktabah Albakri menjelaskan, memang terdapat satu pendapat ganjil yang disebutkan oleh Ibnu Hazim bahawa boleh berkorban dengan burung.
Di samping itu, Dar al-Ifta’ al-Misriyyah pernah ditanyakan tentang hukum melakukan korban dengan burung kerana tersebarnya pendapat yang menyatakan keharusan untuk melakukannya di sana.
"Sementara itu, pendapat yang menyatakan keharusan untuk melakukan korban dengan semua jenis haiwan yang halal dimakan dagingnya adalah pandangan yang lemah, tidak diambil kira sebagai fatwa dan menyelisihi pengamalan umat.
"Riwayat yang menunjukkan bahawa salah seorang sahabat mengatakan dibolehkan menyembelih burung adalah tidak benar kerana nas tersebut tidak boleh difahami zahir,” tulis artikel itu.
"Walaupun terdapat pendapat yang dibolehkan melakukan korban dengan jenis burung seperti ayam, itik dan seumpamanya, tetapi ia adalah pendapat yang syaz (ganjil atau bertentangan dengan nas sahih dan sarih).
"Lebih-lebih lagi telah dinukilkan wujudnya ijma’ (kesepakatan ulama) yang menolak pendapat itu bahawa melakukan korban dengan selain daripada bahimah al-an’am (haiwan ternakan) adalah tidak sah,” tulis artikel itu.