Polis terima 27 laporan rumah rosak akibat simulasi letupan bom LIMA’25

Iklan
Fisol (kanan) mengesahkan pihak polis menerima 27 laporan berkaitan kerosakan rumah akibat latihan LIMA’25. - Foto Facebook Polis Kedah

LANGKAWI – Sebanyak 27 laporan polis telah diterima melibatkan kerosakan rumah penduduk yang didakwa berpunca daripada latihan simulasi letupan bom sempena acara perasmian Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA ’25).

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, kesemua laporan itu telah disiasat dan hasil siasatan akan dirujuk kepada pihak berkaitan untuk tindakan selanjutnya.

Iklan
Iklan

Katanya, pada edisi LIMA sebelum ini, kejadian seumpama itu tidak pernah berlaku sehingga mengakibatkan rumah penduduk rosak.

"Bagaimanapun kita telah menyiasat semua aduan yang diterima daripada penduduk yang terjejas.

Iklan

"Pihak polis juga telah berhubung dengan pihak penganjur dan mereka memberi komitmen penuh untuk menyelesaikan isu berkenaan,” katanya pada sidang media di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Langkawi, pada Khamis.

Antara rakaman video yang tular menunjukkan cermin tingkap rumah penduduk pecah ketika latihan LIMA’25.

Menurutnya, pihak polis mengingatkan orang ramai supaya tidak mengambil kesempatan dengan membuat laporan palsu semata-mata untuk mendapatkan pampasan.

Iklan

"Setiap laporan mestilah berlandaskan kejadian sebenar dan bukan rekaan. Kita tidak mahu ada yang mengambil kesempatan dalam situasi ini,”ujarnya.

Tambah Fisol, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) juga telah menjalankan pemeriksaan terhadap kediaman yang terlibat.

"Selain itu saya ingin memaklumkan bahawa tiada lagi persembahan gimik letupan akan dilakukan di kawasan sekitar Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) sehingga pameran tamat pada Sabtu ini,” jelasnya.

Sebelum ini, tular di media sosial beberapa video menunjukkan penduduk kampung di sekitar kawasan latihan pertunjukan udara sempena LIMA’25 mendakwa rumah mereka mengalami kerosakan.

Antara yang dikongsi termasuk cermin tingkap yang pecah, siling rumah berlubang dan retak, dipercayai berpunca daripada gegaran kuat semasa latihan pesawat berlangsung.

Dalam video yang sama, beberapa pegawai juga dilaporkan turun padang ke rumah penduduk terjejas untuk meninjau kerosakan yang berlaku.

Mereka turut menyarankan agar penduduk membuka tingkap rumah dan kereta semasa pertunjukan berlangsung bagi mengurangkan risiko kerosakan berulang.