PKR dan Perangkap Thucydides: Antara legasi Anwar dan gelombang Rafizi

Iklan
Rafizi dan Nurul Izzah

BAHANG pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sedang mencuri perhatian umum. Tumpuan terhala kepada perebutan dan pengisian jawatan Timbalan Presiden telah mencetuskan suatu gempa politik.

Ia menyaksikan pertarungan simbolik antara kumpulan yang ingin meneruskan kesinambungan legasi dan satu lagi golongan reformis yang mahu mengekalkan idealisme perjuangan asal.

Iklan
Iklan

PKR kini berada pada titik perubahan yang signifikan dalam sejarah penubuhannya sejak memegang teraju kekuasaan. Mereka dikritik hebat kerana dilihat menyimpang daripada semangat Reformasi 98 yang diperjuangkan.

Oleh itu, PKR kini berada di persimpangan kritikal - bukan setakat usaha untuk mengukuhkan parti masih kabur, malah cabaran mendepani peralihan kuasa dalaman bakal menentukan hala tuju parti pasca Anwar Ibrahim masih belum jelas.

Iklan

Perubahan dan penggiliran kuasa sesebuah parti tidak dapat dielak. Sama ada lambat atau cepat, suka atau tidak, anggota dan kepimpinan mesti menghadapinya. Anwar tidak akan berkuasa selamanya ke atas parti.

Meskipun, gelanggang pertandingan antara Nurul Izzah dengan Rafizi Ramli sudah cukup menggegarkan negara, tetapi hakikatnya ia berpusat kepada soal mempertahankan legasi yang telah lama ditanam Anwar.

Iklan

Dalam erti kata, Rafizi bukan hanya berdepan Nurul Izzah, bahkan sedang menandingi dan mencabar pengaruh Anwar. Perang Dingin sedang berlaku dalam keluarga PKR sekarang.

Dalam konteks ini, kita turut boleh memahami perang dan pergolakan dalaman PKR yang sedang berlaku melalui konsep ‘Perangkap Thucydides’ yang berasal dari sejarah politik antarabangsa -namun menurut hemat penulis ianya relevan diaplikasi kepada politik dalaman sesebuah parti seperti PKR.

Kuasa lama lawan kuasa baru

‘Perangkap Thucydides’ ialah istilah yang merujuk kepada ketegangan dan potensi konflik yang tercetus apabila kuasa baru yang sedang meningkat-naik mencabar kedudukan kuasa lama yang telah establish.

Konsep ini diambil daripada latar sejarah Perang Peloponnesia antara Athens dan Sparta, yang mana kebangkitan Athens mengakibatkan ketakutan dan tindakan agresif daripada Sparta, akhirnya membawa kepada permusuhan yang menegangkan kedua-dua belah pihak.

Kebimbangan sesuatu pihak yang sedang berkuasa sekarang melihat terdapatnya satu lagi kuasa berbeza sedang mengancam kepentingannya.

Walaupun ‘Perangkap Thucydides’ berasal daripada pendekatan ilmu hubungan antarabangsa, konsep realis politik ini boleh digunakan secara metafora atau (perlambangan) untuk memahami konflik kuasa dalaman PKR.

Dalam hubungan ini, kuasa lama merujuk kepada kepimpinan Anwar dan lingkaran tradisionalnya, manakala kuasa baru boleh dilihat pada Rafizi yang muncul sebagai pesaing dan pencabar baru yang lebih radikal dalam menuntut perjuangan reformasi dikembalikan.

Salah satu faktor utama yang memperkukuh ketegangan ini ialah perbezaan latar belakang dan jaringan sokongan antara Anwar dan Rafizi.

Anwar merupakan aktor politik veteran, memiliki sejarah panjang bermula awal 70-an daripada gerakan Islam iaitu Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).

Jaringan ini telah membentuk asas sokongan beliau yang berteraskan nilai Islamik, memelihara budaya politik Melayu dan kepatuhan kepada hierarki.

Lagi pula, pengalaman Anwar dalam UMNO sebelum terbentuknya PKR pada tahun 1999 turut membentuk kerangka pemikiran dan keperibadiannya yang lebih konservatif bagi memelihara kepentingan sistem dan kestabilan politik - maka penekanan tinggi diberikan dalam hal ini.

Jaringan Anwar ini membolehkannya membina pertalian dengan golongan elit politik dan institusi agama yang menjadi pangkalan kuasa penting dalam konteks Malaysia yang beragam.

Anwar lebih cenderung dan mahir dalam merundingkan kuasa di peringkat tertinggi, termasuk dengan ahli politik veteran, kelas korporat, institusi rasmi negara dan jaringan di peringkat global.

Pendekatan ini sering disifatkan sebagai fokus kepada gaya politik elit yang sedang berusaha menyeimbangkan kepentingan kuasanya dan kestabilan negara.

Manakala Rafizi muncul daripada latar belakang dan generasi yang berbeza. Jurang generasi antara Anwar-Rafizi menyerlahkan perbezaan cara bertindak dan beraksi kedua-dua aktor utama PKR kali ini.

Tidak seperti Anwar, Rafizi tidak memiliki jaringan luas berasaskan gerakan Islam atau politik tradisional. Sebaliknya, Rafizi membina pengaruh dan mempromosi diri melalui keupayaan teknikal, budaya kerja teknokrat, pembentangan analisis data, mempopularkan budaya debat dan keberanian mendedahkan skandal-skandal besar (misalnya 1MDB dan NFC) yang pernah suatu ketika menggugat kepentingan elit penguasa.

Bagaimanapun, pendekatan beliau yang lebih berterus terang, berjaya menggemblengkan platform media sosial serta menggerakkan kempen kesedaran rakyat dikira lebih mendekat dan memikat cara fikir generasi milineal dan gen Z.

Rafizi kelihatan mewakili generasi muda yang rebellious apabila menuntut perubahan segera dalam budaya dalaman parti dan pentadbiran kerajaan, berbeza dengan gaya kompromi, sanggup bertolak ansur dan perundingan yang lebih berhati-hati dilakukan Anwar.

Tidak hairan mengapa Rafizi menekankan reformasi yang lebih tegas, khususnya kepada kelompok pejuang reformis di bawah yang menginginkan politik kekal berprinsip dan semangat asal ‘Reformasi 98’ terus menyala.

Pertembungan Anwar-Rafizi bukanlah dalam bentuk ‘perang yang nyata’ dan berdepan, sebaliknya Nurul Izzah (anak perempuan Anwar) adalah watak yang ditugaskan ‘mewakili Anwar’ sedang bertempur hebat merebut jawatan nombor dua parti.

Jawatan strategik nanti akan berperanan penting sebagai Pengarah Pilihan Raya parti dan sekali gus bertindak sebagai panglima perang.

Ada dakwaan mengatakan satu strategi telah digerakkan untuk melemahkan pengaruh Rafizi. Ini bukanlah satu rahsia, umum mengetahuinya. Malah ramalan yang menyifatkan PKR sedang mempersiapkan calon Perdana Menteri wanita pertama untuk masa depan.

Secara tersiratnya, konflik antara Anwar dan Rafizi sebenarnya melambangkan pertembungan dua gaya kepimpinan yang berbeza: di satu pihak untuk mewariskan legasi, di satu pihak pula gelombang sokongan yang semakin menggelegak.

Pendekatan sebahagian daripada kem Anwar disifatkan semakin longgar, tidak sepertimana ketika menjadi pembangkang. Kesanggupan untuk berkompromi dengan golongan elit yang terpalit dengan skandal rasuah dan isu integriti telah mengubah ketegasan PKR sebelum ini kepada politik yang bercirikan sesumpah. Pendirian yang tidak konsisten dianggap telah memudarkan perjuangan Reformasi.

Pendekatan Rafizi pula disifatkan lebih objektif, berasaskan reformasi segera serta penglibatan rakyat secara langsung. Rafizi mahu memecahkan budaya politik lama yang dianggap memperlahankan kemajuan parti dan negara.

Pendekatan beliau yang menentang keras gaya elitis seperti budaya bermewah-mewahan, menjadikan wang sebagai sumber sokongan serta menormalkan politik penaungan.

Perbezaan ini bukan sahaja mencetuskan pertembungan antara kedua pendekatan, tetapi juga persoalan legitimasi kuasa dalaman parti. Rafizi dengan kelantangannya yang vokal dalam hal tersebut sering dilihat sebagai satu ancaman kepada status quo yang dikawal oleh Anwar dan pasukannya.

Sebaliknya bagi Rafizi, gaya Anwar kini dianggap terlalu ‘menjaga hati pihak tertentu’ (banyak berkompromi), tidak tegas dan kurang responsif kepada keperluan politik masa kini.

Anwar dan kebimbangan penggal terakhir?

Satu dimensi yang mempengaruhi perang dingin dalam rumah tangga PKR ketika ini adalah kemungkinan ini merupakan penggal terakhir Anwar sebagai presiden parti. Kesedaran ini menimbulkan kebimbangan dan tekanan untuk memastikan legasinya terus terpelihara dan kesinambungan parti terjamin.

Anwar yang berasal dari lingkungan politik konservatif mungkin lebih cenderung menentukan peralihan kuasa secara teratur.

Ini menyebabkan beliau cenderung mengekalkan lingkungan sokongan yang berbasis agama dan elit politik, sementara menahan perubahan drastik yang boleh menggugat survivalnya dalam jangka masa panjang.

‘Perangkap Thucydides’ dalam PKR

Dalam konteks ini, ‘perangkap Thucydides’ berlaku apabila Rafizi sebagai kuasa baru yang sedang meningkat dipandang sebagai ancaman oleh Anwar dan kelompok lama yang menguasai parti. Psikologi kebimbangan terhadap kehilangan kuasa dan pengaruh menimbulkan persaingan ketara secara tak langsung.

Bukan hanya setakat kehilangan kuasa, malah terdapat kebimbangan legasi yang telah lama terinstitusi itu akan digantikan dengan yang baru. Sejak ditubuhkan, ‘PKR itu adalah Anwar, Anwar itu adalah PKR.’

Sepanjang 26 tahun sejarah perjalanan parti, Presiden atau jawatan nombor satu hanya dikuasai Anwar dan isterinya Wan Azizah Wan Ismail tidak terusik dan tidak tercabar.

Walaupun terdapat pihak yang mempolemikkan isu nepotisme, namun ia bukanlah perkara yang unik dan asing dalam konteks parti politik di Malaysia.

Fenomena ini turut berlaku dalam kepimpinan utama di peringkat antarabangsa seperti keluarga Nehru dan Gandhi di India, di Filipina keluarga Marcos dan Aquino, di Singapura keluarga Lee, di Indonesia keluarga Sukarno dan di Amerika Syarikat keluarga Clinton dan Bush.

Pemusatan kuasa di kalangan keluarga kecil penguasa bukanlah dianggap isu oleh kebanyakan anggota PKR. Sejak hari pertama parti diasaskan sehinggalah sekarang unsur politik kekerabatan memang sesuatu yang semulajadi dan sebati sifatnya.

Namun, fakta yang kuasa hanya berputar dan berlegar antara Anwar dan Wan Azizah adalah suatu yang real, malah boleh dikritik!

Bagi anggota parti yang menyokong kem Nurul Izzah, Anwar dianggap sebagai pragmatik dan pelindung kepada nilai tradisi sepanjang sejarah perjuangan PKR.

DNA PKR yang berjaya menghimpun dan meraikan anggota daripada pelbagai jalur pemikiran (misalnya golongan Islamis, kaum sosialis, kumpulan NGO hak asasi dan bekas pimpinan UMNO) antara faktor penonjolan kuasa Anwar.

Dari sudut ini, kelebihan memiliki jaringan dalam dan antarabangsa membuatkan Anwar dan Nurul Izzah sukar ditandingi oleh Rafizi.

Begitu pun, Nurul Izzah tidak boleh terlepas daripada bayangan Anwar (selaku anak Presiden) - meletakkannya pada kedudukan sedikit selesa untuk menaikkan graf sokongan.

Dalam hubungan ini, Anwar mungkin berasa keperluan mempertahankan legasi menerusi puteri sulungnya itu merupakan matlamat utama.

Sebaliknya inspirasi yang dikemukakan Rafizi tampak bertentangan dengan pendekatan dibawa Anwar yang akhirnya memberi cabaran sengit kepada kepentingan politik Anwar.

Kempen Rafizi yang agresif menunjukkan sikapnya yang tidak mudah menyerah. Serangan ofensif yang bertubi-tubi dan cabaran debat dibuat Rafizi terhadap pasukan Nurul Izzah tidak mampu disahut, sekali gus menyuntik motivasi puak Rafizi.

Kempen ‘damai’ sedikit sebanyak menenggelamkan reputasi dan publisiti Nurul Izzah, meskipun ia merupakan calon favourite untuk menang.

Malahan orang di luar parti lebih mengikuti jelajah dan kempen Rafizi secara live dengan kelebihannya sebagai pemidato yang baik ketika berucap.

Baik Nurul Izzah mahupun Rafizi keduanya adalah tokoh muda yang futuristik. Keduanya ada kekuatan tersendiri. Nurul Izzah pernah mengalahkan Ketua Wanita UMNO Malaysia iaitu Shahrizat Jalil dan tokoh korporat ternama Raja Nong Chik di parlimen Lembah Pantai antara track record yang signifikan dalam sejarah pilihan raya.

Tidak kurang pentingnya peranan Rafizi menubuhkan gabungan Pakatan Harapan yang akhirnya membawa kemenangan pertama kali parti pembangkang pada Mei 2018 merupakan usaha besar dalam catatan sejarah politik Malaysia.

Kelantangan suara Rafizi dan pengalaman aktivisme pada Nurul Izzah seharusnya menjadi aset bersama untuk membangun masa depan PKR yang lebih relevan, perbezaan pendekatan bukan sumber konflik yang boleh merosakkan.

Sekiranya ketegangan ini tidak diuruskan secara hikmah, risiko perpecahan dalaman akan menjadi ketara. Sejarah PKR memaparkan bagaimana krisis dalaman seperti kes pemecatan Datuk Seri Azmin Ali pada 2020 memberi kesan negatif terhadap parti.

Ini menggambarkan bahawa kegagalan mengurus perubahan kuasa boleh mencetus kepada keruntuhan ekosistem parti.

Perlu diingatkan, PKR tidak boleh lagi kehilangan bakat besar, seperti PKR pernah kehilangan mantan Timbalan Presiden, Azmin Ali.

Bagi PKR, cabaran utama kini adalah menguruskan transisi kuasa secara strategik dan teratur agar pihak Anwar dan Rafizi dapat berkoloborasi untuk mereformasi negara.

PKR tidak boleh terperangkap dalam budaya politik lama yang menumpukan perebutan kuasa fraksi dan kepuakan. Sebaliknya, ia harus mengangkat gaya kepimpinan baru yang menyatukan, responsif kepada perubahan zaman dan paling mustahak tidak menyisihkan mana-mana kumpulan.

*Mohd Azizi Jaeh dan Muhammad Helmi Othman merupakan pemerhati politik dan lulusan Sarjana Sains Politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).