KLANG - Majoriti daripada 89 penduduk Taman Sungai Sireh di sini telah menerima pampasan dan menganggap isu pengambilan tanah bagi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sebagai selesai.
Bagaimanapun, kira-kira 30 keluarga masih berjuang secara bersendirian dalam menuntut keadilan berhubung nilai pampasan yang diterima.
Difahamkan, setiap rumah yang terlibat menerima pampasan sekitar RM600,000 bergantung kepada penilaian semasa, namun jumlah itu dilihat tidak mencerminkan nilai sebenar pengorbanan sesetengah penduduk yang telah menetap di situ lebih dua dekad.
Salah seorang penduduk, Mahad Taha, 58, berkata, beliau menetap di kawasan itu lebih 20 tahun dan walaupun sudah menerima pampasan, beliau mengakui berat hati untuk meninggalkan rumah yang sarat dengan kenangan.
"Saya terima sahaja pampasan itu, tetapi tidak semua orang sama. Ada jiran saya yang merasakan mereka diperlakukan secara tidak adil.
"Mereka sudah menerima pampasan, tetapi masih merasakan jumlah itu tidak setimpal dan kini kes mereka masih di mahkamah,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya di sini pada Khamis.
Sebahagian keluarga terlibat kini mendapatkan khidmat guaman bagi meneruskan tuntutan melalui saluran perundangan.
Seorang penduduk lain yang turut terjejas namun enggan dinamakan berkata, majoriti penduduk menganggap isu itu telah selesai dan tiada lagi mesyuarat atau tindakan bersama seperti sebelum ini.
"Yang lain sudah tutup buku. Yang tidak puas hati, mereka teruskan perjuangan masing-masing mengikut nasihat peguam,” katanya.
Sementara itu, seorang penduduk yang tidak terlibat dalam proses perpindahan, Nasarudin Mohamad, 46, berkata, kawasan sekitar Jalan Sireh Pinang 2 dan 7 antara yang terjejas oleh jajaran projek ECRL.
Menurutnya, walaupun pewartaan bawah Seksyen 8 Akta Pengambilan Tanah 1960 telah dibuat sejak 2023, kerja-kerja fizikal belum bermula kerana beliau difahamkan masih terdapat proses undang-undang yang belum diselesaikan.
"Setakat ini, penduduk masih menjalani kehidupan seperti biasa kerana kerja-kerja pembinaan masih belum bermula,” ujarnya.
Sebelum ini, pihak Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) menjelaskan bahawa semua proses pengambilan tanah dilaksanakan secara sah, manakala nilai pampasan ditentukan berdasarkan penilaian oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH).
Kerajaan Negeri Selangor turut memberi jaminan bahawa kebajikan penduduk menjadi keutamaan, dan projek hanya akan diteruskan selepas isu penempatan dan tanah perkuburan diselesaikan sepenuhnya.