IPOH - Kerajaan Perak menerusi Yayasan Bina Upaya (YBU) akan memberikan bantuan diperlukan waris serta ahli keluarga anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang terlibat nahas tragis di Teluk Intan, minggu lalu.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, bantuan diberikan melibatkan keperluan anak-anak mangsa yang masih bersekolah.
Menurutnya, setakat ini sumbangan wang tunai segera bagi urusan pengebumian jenazah telah diberikan kepada waris selepas kejadian tersebut berlaku.
"Bantuan-bantuan lain nanti kita akan bincang apa yang kita boleh buat sebab kita juga lihat ada juga yang diberikan oleh kerajaan Persekutuan. Mereka pun ada insurans berkelompok dan sebagainya.
"Kerajaan negeri, kita akan bincang minggu depan apa kita boleh bantu. Kita barangkali boleh melihat bagaimana YBU boleh membantu anak-anak mangsa yang masih bersekolah," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Ramah Mesra Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) Negeri Perak di Pusat Konvensyen Casuarina, Bandar Meru Raya di sini pada Khamis.
Pada Rabu, Sinar Harian melaporkan kerajaan negeri sedang meneliti bentuk bantuan tambahan yang bersesuaian kepada waris serta anggota FRU yang terlibat dalam nahas tragis mengorbankan sembilan anggota di Teluk Intan itu.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat bersama Saarani dalam masa terdekat.
Dalam kejadian pada 13 Mei lalu, trak FRU yang membawa 18 anggota dari Unit 5 Sungai Senam menuju ke Ipoh selepas selesai bertugas sempena perayaan Chitrapournami di Teluk Intan bertembung dengan sebuah lori membawa muatan batu kerikil.
Lapan anggota maut di lokasi kejadian manakala seorang lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di HTI sementara lapan lagi anggota mengalami kecederaan dan dirawat di hospital sama.