ISKANDAR PUTERI - Kerajaan negeri Johor kini dalam proses mendapatkan bantuan tangki air dari daerah lain di Johor serta negeri-negeri lain bagi mengatasi krisis gangguan bekalan air yang melanda Johor Bahru ketika ini.
Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi sebelum bermulanya Penggal Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-15, pagi Khamis.
Menurut beliau, langkah itu diambil susulan kerosakan enam pam utama di daerah Johor Bahru yang masih belum dibaiki sehingga Khamis, meskipun ia dijangka siap pada Rabu.
"Ranhill SAJ maklumkan berlaku kerosakan pada enam pam yang menyebabkan ratusan ribu rumah di Johor Bahru tidak menerima bekalan air.
"Masalah di Johor Bahru ini bukan tiada tangki air, tetapi tiada bekalan air untuk disalurkan ke kawasan perumahan,” katanya.
Tambah beliau, bantuan tangki air akan dihantar ke setiap kawasan terlibat, termasuk dari negeri-negeri lain, bagi menampung keperluan mendesak penduduk.
Terdahulu, akhbar melaporkan kira-kira 100,000 akaun pengguna terjejas akibat kerosakan luar jangka pam utama yang menyalurkan air ke Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Johor.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, kerosakan itu memaksa operasi loji dihentikan sepenuhnya sejak petang Selasa, mengakibatkan agihan air sebanyak 318 juta liter sehari (MLD) tergendala.
Dalam pada itu, Onn Hafiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap memaklumkan bahawa satu mesyuarat krisis kecemasan telah diadakan pagi Khamis bagi mempercepatkan proses baik pulih pam.
"Kita juga akan membekalkan air mineral sebanyak mungkin bagi memastikan bekalan air minuman mencukupi untuk setiap rumah yang terjejas di Johor Bahru. Doakan agar usaha ini segera membuahkan hasil,” katanya.