6,781 kanak-kanak di Pulau Pinang alami gangguan bahasa, pertuturan

Iklan
Daniel Gooi pada Sidang DUN Pulau Pinang pada Khamis.

GEORGE TOWN - Seramai 6,781 kanak-kanak di Pulau Pinang dikenal pasti mengalami gangguan bahasa dan pertuturan dengan purata tempoh menunggu rawatan mencecah 205 hari pada tahun lalu.

Exco Kesihatan, Belia dan Sukan, Daniel Gooi Zi Sen berkata, pada masa ini hanya terdapat tujuh ahli terapi pertuturan di Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pulau Pinang, sekali gus memberi tekanan terhadap kapasiti rawatan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, permohonan penambahan pegawai terapi pertuturan telah dibangkitkan beberapa kali di peringkat kementerian, namun dimaklumkan bahawa tiada penambahan perjawatan dapat dilakukan buat masa ini.

"Sebagai langkah alternatif, Jabatan Pediatrik JKN Pulau Pinang melatih ibu bapa supaya mereka boleh meneruskan rawatan secara kendiri di rumah.

Iklan

"Pelbagai bengkel dan latihan juga telah dianjurkan bagi memperkasa ibu bapa dalam membantu anak-anak mereka, selain JKN turut mencadangkan kerjasama dengan hospital swasta bagi mengurangkan tempoh menunggu,” katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN)Pulau Pinang pada Khamis.

Daniel Gooi (DAP–Padang Lalang) berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Heng Lee Lee (DAP–Berapit) berhubung jumlah kanak-kanak yang mengalami gangguan bahasa berbanding dengan jumlah pakar terapi pertuturan di hospital kerajaan serta tempoh menunggu rawatan.

Iklan

Mengulas lanjut, Daniel berkata, data kanak-kanak berkeperluan khas di negeri ini menunjukkan peningkatan dari tahun ke tahun.

"Pada 2021, seramai 4,547 kanak-kanak direkodkan sebagai berkeperluan khas dan angka itu meningkat kepada 6,165 orang setakat Mei tahun ini,” katanya.

Daripada jumlah itu, kategori masalah pembelajaran mencatatkan bilangan tertinggi iaitu seramai 5,264 orang, diikuti kurang upaya fizikal (326), kurang upaya pelbagai (173), kurang upaya pendengaran (233) dan kurang upaya penglihatan (145).