KUALA LANGAT – Seorang pengarah syarikat telah dibawa ke Mahkamah Majistret Telok Datok, di sini, pada Jumaat minggu lalu kerana menjalankan perniagaan rokok elektronik tanpa lesen sah daripada Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL).
Mengikut pertuduhan, individu berusia lingkungan 30-an itu, selaku orang kena saman (OKS), didakwa menjalankan aktiviti perniagaan menjual vape tanpa lesen yang sah daripada MPKL.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Undang-Undang Kecil 3, Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian, Majlis Daerah Kuala Langat 2007.
Bagaimanapun, Majistret Maslinda Selamat membenarkan permohonan OKS untuk menarik balik dan membatalkan saman berkenaan setelah beliau menjelaskan kompaun sebanyak RM400 pada Rabu.
Dalam prosiding tersebut, pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Kanan MPKL, Hasrizal Abd Rahim dan Ahmad Razali Abdul Manaf.
Sementara itu, dalam kenyataan media, MPKL menasihatkan mana-mana syarikat atau individu yang terlibat dalam penjualan rokok elektronik agar mendapatkan lesen yang sah bagi mengelak tindakan undang-undang.
"MPKL juga mengingatkan masyarakat supaya mematuhi undang-undang dan peraturan yang ditetapkan, malah Kerajaan Negeri telah mengambil tindakan terhadap iklan berkaitan produk berkenaan.
"Ia selaras dengan kenyataan media oleh Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar pada 20 Mei lalu, berkaitan Langkah Awal Kawalan Vape,” menurut kenyataan itu.