KUALA NERUS – Penemuan sarang pertama spesies burung pemangsa, Helang Perut Merah atau nama saintifiknya Lophotriorchis kienerii, di sebuah kawasan hutan di Terengganu merupakan satu rekod penting dalam dunia ornitologi negara.
Penemuan langka itu dilakukan oleh Felo Penyelidik Institut Penyelidikan Alam Sekitar Pantai Timur (ESERI), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Anuar McAfee ketika menjalankan pemerhatian lapangan pada akhir Februari lalu.
Anuar, yang juga ahli Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) Cawangan Terengganu berkata, spesies tersebut jarang ditemui dan amat sukar untuk direkodkan proses pembiakannya, termasuk di rantau Asia.
"Penemuan ini bukan sahaja yang pertama di Malaysia, malah amat jarang direkodkan di peringkat global kerana corak pembiakannya kurang didokumentasikan di seluruh kawasan taburannya di Asia.
"Melihat sendiri proses pembiakannya di habitat semula jadi amat bermakna, lebih-lebih lagi sempena sambutan Hari Antarabangsa Kepelbagaian Biologi (IDB) 2025 bertemakan ‘Keharmonian dengan Alam dan Pembangunan Mampan’ hari ini,” katanya pada Khamis.
Menurut Anuar, kehadiran spesies ini menandakan hutan di negara ini masih sihat dan mampu menyokong hidupan liar di puncak rantaian makanan.
Sementara itu, Pengarah ESERI, Prof Madya Dr Roslan Umar berkata, penemuan tersebut membuktikan peranan institusi pengajian tinggi dalam dokumentasi dan pemuliharaan khazanah alam negara.
"Penemuan spesies ini memberi isyarat jelas bahawa masih banyak biodiversiti belum diterokai, dan universiti memainkan peranan besar dalam memastikan ia terus dilindungi untuk tatapan generasi akan datang.
"Ia juga membuktikan bahawa hutan-hutan di Terengganu menyimpan khazanah biodiversiti luar biasa yang perlu dipelihara,” katanya.
Beliau berkata, ESERI turut memainkan peranan dalam menangani isu perubahan iklim, cuaca angkasa, pengurusan bencana serta pembangunan tenaga boleh diperbaharui sejajar dengan empat Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) utama.