KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bertindak tegas meroboh dua struktur papan iklan haram dalam satu operasi bersepadu bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Bangsar, Parlimen Lembah Pantai, awal pagi semalam.
Operasi sekitar tengah malam itu menyasarkan papan iklan bersaiz 20x10 kaki yang didirikan tanpa kebenaran pihak berkuasa tempatan.
Lokasi binaan dikenal pasti berada di atas rizab jalan dan melanggar peraturan di bawah Seksyen 70, Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.
Menurut kenyataan DBKL, pemilik papan iklan terbabit telah diberi notis perobohan pertama pada 9 April lalu, diikuti notis kedua pada 16 Mei, namun gagal mematuhi arahan untuk membersihkan tapak dalam tempoh yang ditetapkan.
"Struktur iklan yang diturunkan telah dibawa ke Setor Simpanan Jabatan Kejuruteraan Mekanikal dan Elektrikal DBKL, Jalan Cheras untuk tujuan rekod dan pelupusan,” jelas pihak berkuasa tempatan itu dalam kenyataan.
Langkah ini adalah sebahagian usaha berterusan DBKL memperkemas wajah ibu kota serta memastikan semua pembangunan dan binaan mematuhi peraturan yang ditetapkan.
"DBKL komited mewujudkan bandar raya yang tersusun, patuh undang-undang dan cekap tadbir urus, terutama menjelang penganjuran Persidangan ASEAN 2025, di mana Kuala Lumpur menjadi tuan rumah,” tambah kenyataan itu.
DBKL turut memberi amaran bahawa tindakan penguatkuasaan seumpama ini akan diteruskan dari semasa ke semasa di seluruh ibu negara.
Orang awam digalakkan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti binaan haram melalui pautan: https://adukl.dbkl.gov.my