Cadangan menaikkan umur persaraan wajib dari 60 kepada 65 tahun mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan rakyat negara ini, termasuk generasi muda.
Malaysia ketika ini berada di ambang peralihan demografi menuju ke arah negara tua menjelang 2030, sekali gus menjadikan kerajaan melihat perlunya warga emas terus aktif dalam ekonomi.
Namun realiti di lapangan dan pelaksanaan peringkat akar umbi tidak semudah perancangan dasar di atas kertas.
Walaupun ramai bersetuju bahawa rakyat Malaysia kini lebih sihat dan berdaya tahan, namun tidak semua sektor pekerjaan bersifat ringan atau sesuai untuk golongan berusia.
Sebahagian besar rakyat masih terlibat dalam kerja berasaskan fizikal dan tekanan tinggi yang boleh menjejaskan kesihatan jika terus dilakukan selepas umur 60 tahun.
Dalam masa sama, pasaran kerja Malaysia berdepan dengan ketidakseimbangan struktur apabila bilangan graduan yang meningkat saban tahun tidak diimbangi dengan penciptaan pekerjaan baharu, terutama dalam sektor berkemahiran tinggi.
Jika pekerja sedia ada terus dilanjutkan tempoh perkhidmatan, peluang untuk generasi muda menembusi pasaran kerja akan menjadi lebih sempit, sekali gus mencetuskan peningkatan kadar pengangguran, kelestarian pendapatan isi rumah muda dan keyakinan terhadap masa depan negara.
Dasar umur persaraan bukan hanya soal produktiviti ekonomi tetapi berkait rapat dengan ruang untuk setiap generasi menyumbang, berkembang dan menikmati hasil kerja mereka
Justeru, antara langkah yang dilihat sesuai adalah dengan pendekatan fleksibel di mana pekerja diberi pilihan untuk bersara antara usia 60 hingga 65 tahun berdasarkan keperluan dan keadaan individu.
Selain itu, kerajaan juga harus menilai semula cadangan ini secara holistik, melibatkan pandangan pelbagai lapisan masyarakat termasuk pakar kesihatan, ekonomi, penggubal dasar dan golongan muda sendiri.
Ini kerana, soal umur persaraan bukan hanya tentang menambah angka tahun tetapi menyentuh soal martabat pekerja, peluang untuk generasi seterusnya dan hala tuju ekonomi negara secara menyeluruh.