Kaji skim pencen menteri, bukannya lanjut tempoh pencen

Iklan
Lebih baik mengkaji semula skim pencen menteri dan digantikan dengan caruman KWSP.

CADANGAN Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said agar had umur persaraan wajib di negara ini dinaikkan dari 60 ke 65 tahun telah menarik perhatian banyak pihak.

Ramai terfikir mengenai pergerakan pangkat yang akan menjadi perlahan dan lebih merisaukan apakah tahap pengangguran akan meningkat? Ini kerana data Jabatan Perangkaan Malaysia pada November 2024 menunjukkan seramai 546,700 orang sedang menganggur.

Iklan
Iklan

Alasan Azalina sangat mudah, kebanyakan mesyuarat melibatkan beliau di luar negara melibatkan perwakilan asing yang berusia agak ‘tua’ berbanding perwakilan Malaysia.

Justeru katanya, had umur bersara kita perlu dilanjutkan kerana mereka ada pengalaman dan masih ‘muda’ untuk terus berkhidmat kepada negara.

Walaupun ia bersifat cadangan peribadi, tetapi apa yang dikeluarkan daripada mulut seorang menteri dianggap suatu perkara yang serius dan mungkin dipertimbangkan pada masa depan.

Iklan

Adakah negara ini akan melalui fasa perubahan had umur pencen lagi? Setakat ini had umur persaraan kakitangan awam dan swasta ialah 60 tahun.

Namun, beberapa negara maju seperti Australia, Kanada dan Jerman, had pencen mereka adalah 65 tahun, manakala United Kingdom bersara pada usia 66 tahun (akan naik ke 67 tahun pada 2028).

Iklan

Jika kerajaan berhasrat mengangkat cadangan Azalina itu, mungkin boleh mencontohi cara Jepun yang mana walaupun usia persaraannya 65 tahun tetapi perkhidmatan mereka masih boleh digunakan selepas itu kerana kekurangan tenaga mahir.

Malaysia juga sebenarnya sudah ada polisi persaraan melebihi usia 60 tahun untuk beberapa jawatan utama dalam sektor awam jika kepakaran mereka benar-benar diperlukan terutamanya sektor kritikal yang ditentukan kerajaan.

Selain itu, melanjutkan tempoh perkhidmatan secara kontrak selepas usia persaraan seperti diamalkan sekarang juga mungkin lebih praktikal berbanding melanjutkan umur bersara semua kakitangan.

Apa pun, anggota pentadbiran bergelar menteri perlu lebih realistik dan bukannya memberi cadangan yang boleh menggusarkan rakyat Malaysia.

Mungkin lebih baik untuk mengkaji semula skim pencen menteri dan digantikan dengan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagaimana diperkenalkan kepada kakitangan awam baharu atau kurangkan bayaran pencen menteri jika mereka berkhidmat hanya sepenggal.

Ini akan lebih dikenang oleh rakyat.