PERSELISIHAN Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan Petroleum Sarawak Bhd (Petros) memuncak apabila Petros yang ditubuhkan pada 2018 mula menuntut semula hak kawalan terhadap minyak dan gas dalam negeri.
Insiden ini membawa kepada beberapa siri rundingan di antara kedua-dua pihak melibatkan kerajaan negeri dan Persekutuan dalam usaha mencapai titik persefahaman.
Bagaimanakah kemelut ini terus memuncak?
Pada tahun ini, kerajaan Sarawak mengeluarkan notis kepada anak syarikat Petronas, iaitu Petronas Carigali, yang beroperasi di Terminal Minyak Mentah Miri (MCOT), atas dakwaan beroperasi tanpa lesen sah di bawah Ordinan Pengagihan Gas 2016 (DGO 2016).
Kerajaan negeri memberi tempoh 21 hari kepada Petronas Carigali untuk mematuhi syarat lesen tersebut atau berdepan tindakan undang-undang.
Untuk makluman, Sarawak merangkumi lebih 60 peratus rizab petroleum Malaysia dan menyumbang 90 peratus eksport gas asli cecair (LNG) negara.
Apakah tindakan diambil kerajaan untuk menangani kemelut ini?
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, awal bulan ini menyeru agar semua pihak menangguhkan sebarang tindakan atau kenyataan berkaitan isu Petronas-Petros atas dasar kepentingan bersama.
Anwar turut memaklumkan bahawa kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Sarawak akan mengadakan perbincangan lanjut sebaik sahaja Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, pulang dari lawatan rasmi ke London, United Kingdom.
Bagaimanakah kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sarawak mencapai persefahaman?
Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sarawak pada Rabu menerbitkan suatu kenyataan bersama yang menekankan peranan bersama Petronas dan Petros dengan memperakui undang-undang persekutuan dan negeri, kedudukan perjanjian-perjanjian sedia ada dan pembentukan rangka kerja kerjasama antara kedua-dua pihak.
Kenyataan yang ditandatangani Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Openg, itu mengandungi prinsip-prinsip asas yang telah dipersetujui untuk mempermudahkan rundingan seterusnya antara syarikat minyak dan gas negara dan agregator gas negeri itu.
Apakah isi kandungan kenyataan bersama itu?
Kenyataan bersama itu turut menyatakan semua undang-undang persekutuan dan negeri berkaitan pengagihan gas di dalam Sarawak hendaklah 'wujud secara bersama' dan dihormati oleh semua pihak yang menjalankan aktiviti tersebut.
Petronas juga akan meneruskan fungsi, aktiviti, tanggungjawab dan kewajipan sepertimana diamanahkan di bawah Akta Kemajuan Petroleum.
Undang-undang di Sarawak juga tidak akan menjejaskan mana-mana perjanjian dan pengaturan antara Petronas dan anak-anak syarikat dengan pihak ketiga yang berkaitan dengan aktiviti Petronas dan anak-anak syarikat di Sarawak. Pihak ketiga itu termasuk Petros.