Iklan AI guna imej seakan-akan Tun M disahkan tiada kaitan dengan beliau

Iklan
Tangkap layar iklan platform perdagangan dalam talian berkenaan.

SHAH ALAM - Iklan tular melibatkan platform perdagangan dalam talian yang menggunakan kecerdasan buatan (AI) dan menampilkan imej seakan-akan Tun Dr Mahathir Mohamad disahkan tiada kaitan dengan bekas Perdana Menteri itu.

Perkara itu dimaklumkan oleh pengendali akaun media sosial rasmi Dr Mahathir yang mengesahkan bahawa imej negarawan tersebut telah disalah guna oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi tujuan promosi.

Iklan
Iklan

"Untuk makluman, admin telah menerima iklan ini yang menggunakan imej seakan-akan Dr Mahathir.

"Admin boleh mengesahkan bahawa beliau tidak ada kaitan dengan apa jua produk yang diiklankan di paparan ini. Harap maklum,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.

Iklan

Berdasarkan pemerhatian Sinar Harian, platform berkenaan dipercayai menggunakan teknik penyuntingan video bagi memanipulasi ucapan Dr Mahathir, termasuk menukar latar belakang dan menambah logo produk tertentu sehingga seolah-olah beliau sedang mempromosikannya.

Platform berkenaan juga didakwa menawarkan peluang menjana pendapatan hingga RM50,000 sebulan dengan hanya melabur wang sebanyak RM1,000 sebagai modal permulaan.

Iklan