JASIN – Seorang bekas banduan yang baru dibebaskan dari penjara pada Januari lalu ditahan polis selepas disyaki terlibat dalam sindiket mencuri kad akses milik Telekom Malaysia (TM) bernilai RM168,000.
Suspek berusia 44 tahun itu diberkas sekitar jam 2.30 pagi Isnin lalu selepas dikejar sejauh kira-kira lima kilometer oleh polis yang mengesan pergerakannya dalam keadaan mencurigakan di kawasan Simpang Kerayong.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Mohamad Rusli Mat, berkata anggota unit kereta peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin yang menjalankan rondaan terserempak dengan kenderaan jenis Toyota Wish yang dipandu suspek.
"Suspek enggan memberikan kerjasama apabila diarahkan berhenti. Polis terpaksa mengejar sebelum berlaku pergelutan dan lelaki itu berjaya ditahan," katanya pada sidang akhbar di IPD Jasin hari ini.
Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan tersebut menemukan sebanyak 42 keping kad akses TM serta beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk memecah masuk kotak rangkaian telekomunikasi.
Menurut Mohamad Rusli, siasatan mendapati suspek memiliki 30 rekod jenayah lampau melibatkan 24 kes jenayah dan enam kes dadah, selain turut didapati positif dadah jenis methamphetamine.
Beliau menjelaskan, kad akses berkenaan adalah komponen penting bagi agihan internet dan sebarang kehilangan boleh menyebabkan gangguan kepada perkhidmatan pengguna.
"Suspek dipercayai aktif menjalankan kegiatan kecurian ini di kawasan terpencil dengan menyasarkan kabinet rangkaian yang terletak di tepi jalan atau kawasan perumahan, terutamanya pada waktu malam dan awal pagi," ujarnya.
Setakat ini, sebanyak 11 kes kecurian kad akses TM dilaporkan berlaku di Melaka sejak awal tahun, dan pihak polis percaya kegiatan ini didalangi sindiket lebih besar yang sedang giat diburu.
Tambah beliau, kenderaan digunakan suspek turut disyaki sebagai kereta klon kerana tidak mempunyai rekod dalam sistem Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Suspek kini direman selama empat hari hingga 22 Mei bagi membantu siasatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 379 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan serta Seksyen 42 dan Seksyen 108(3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987.