KUANTAN - Taktik sekumpulan pemandu treler yang berhenti dan meletakkan kenderaan berat di bahu jalan bagi mengelak pemeriksaan penguat kuasa gagal apabila dikesan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang dalam satu operasi khas di sekitar kawasan perindustrian Gebeng pada Selasa.
Taktik itu gagal mengelabui penguat kuasa apabila 12 treler terbabit telah ditampal Notis JPJ(P)23.
Unit Korporat JPJ Pahang dalam satu kenyataan berkata, notis itu dikeluarkan kepada pemilik kenderaan bagi mendapatkan maklumat pemandu semasa kesalahan dilakukan.
Menurut kenyataan tersebut, 12 treler itu merupakan sebahagian daripada 36 lori yang diperiksa dalam operasi khas berkenaan, yang merangkumi aspek muatan, kaedah pengisian serta dokumentasi kenderaan dan pemandu.
"Tindakan turut diambil terhadap lima pemandu kerana memandu lori yang menggunakan cukai jalan tamat tempoh.
"Tiga lori yang membawa muatan arang batu, batu dan pasir pula dikenakan tindakan di bawah Seksyen 57(1) Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 kerana membawa lebih muatan,” katanya.
Selain itu, jelas kenyataan itu, 10 notis saman JPJ(P)22 atas pelbagai kesalahan dan dua notis arah periksa turut dikeluarkan terhadap pemandu lori dalam operasi tersebut.
"Secara keseluruhan, daripada 36 lori yang diperiksa, sebanyak 82 jenis kesalahan telah dikesan dan diambil tindakan,” katanya.
JPJ Pahang menjelaskan, operasi khas tersebut dilaksanakan susulan penularan video di media sosial yang memaparkan sebuah lori treler membawa muatan besi gelung secara berbahaya, baru-baru ini.
"JPJ Pahang akan terus menjalankan penguatkuasaan bagi memastikan tindakan diambil terhadap pengusaha dan pemandu lori yang cuai terhadap aspek keselamatan serta pematuhan undang-undang jalan raya.
"Sebarang aduan trafik boleh disalurkan melalui e-mel aduantrafik@jpj.gov.my atau melalui aplikasi e-Aduan@JPJ, berserta butiran pengadu dan butiran aduan,” ujarnya.