Maritim selamatkan 30 mangsa bot terbalik

Iklan
Kesemua mangsa kemudiannya dipindahkan ke kapal dagang berkenaan dan seterusnya diiringi hingga ke sempadan perairan Indonesia. - Foto Maritim Malaysia Johor

KOTA TINGGI - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menyelamatkan 30 mangsa bot terbalik di perairan Tanjung Penawar, Tanjung Sedili, dekat sini pada Rabu.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Johor, Kepten Maritim Kama Azri Kamil berkata, kesemua mangsa yang dikenal pasti sebagai warga Indonesia itu diselamatkan hasil koordinasi pantas Maritime Rescue Sub Center (MRSC) Johor Bahru bersama agensi penyelamat Indonesia serta bantuan daripada aset maritim yang digerakkan ke lokasi.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sebaik menerima maklumat mengenai kejadian, Operasi Mencari dan Menyelamat (Carilamat) segera digerakkan.

"Kita menerima maklumat awal daripada Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (BASARNAS) Tanjung Pinang, sebelum mengaktifkan Ops Carilamat.

Iklan
Antara aset yang digerakkan dalam operasi Carilamat pada Rabu. - Foto Maritim Malaysia Johor

"Dalam operasi ini, KM Sibuan bersama bot Petir 11 dan Penggalang 15 turut digerakkan ke lokasi 19.3 batu nautika timur laut Tanjung Penawar bagi memberikan bantuan lanjut.

"Ketika kejadian, sebuah kapal dagang Andros Spirit yang berada di kawasan berdekatan turut bertindak membantu menyelamatkan kesemua mangsa," katanya.

Iklan

Kesemua mangsa kemudiannya dipindahkan ke kapal dagang berkenaan dan seterusnya diiringi hingga ke sempadan perairan Indonesia.

Seterusnya, mereka diserahkan kepada pihak berkuasa maritim negara itu yang menunggu dengan kapal KN Ranto, KN Kalimasadha dan KN Tanjung Datu.